Najib yakin usaha boikot praya Batu Talam akan gagal
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ternyata gagal berdasarkansambutan menggalakkan di beberapa pusat pengundian terutama di kawasan Felda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ternyata gagal berdasarkansambutan menggalakkan di beberapa pusat pengundian terutama di kawasan Felda.
Sehingga jam 11 pagi ini, kira-kira 36 peratus atau 3,789 pengundi daripada 10,525 pemilih berdaftar keluar mengundi.
Pengundian dijalankan di 12 pusat mengundi bermula pada jam 8 pagi tadi dan penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Jubli Perak Daerah Raub, demikian menurut laporan Bernama.
Manakala Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai penduduk akan keluar mengundi menjelang tempoh mengundi ditutup pada jam 5 petang ini.
Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu akibat kanser paru-paru dan usus.
Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Abd Aziz Mat Kiram, 47, dicabar calon Bebas Ng Chee Pang, 22.
Penyokong tradisi
Sementara itu, Najib berkata jika ada yang boikot hanyalah di kalangan penyokong tradisi pembangkang sahaja.
Najib yang turut membuat lawatan ke beberapa pusat pengundian lain berpuashati dengan jumlah kehadiran pengundi sejak jam 8 pagi tadi.
Malah, Najib yakin BN akan berjaya mencapai jumlah majoriti yang disasarkan berdasarkan usaha yang dilakukan jentera pilihan raya parti.
Sementara itu, proses pengundian pilihanraya Batu Talam tetap berjalan lancar walaupun cuaca mendung dan gerimis sejak awal pagi ini.
Tinjauan Bernama di beberapa daerah mengundi di sini yang dibuka mulai jam 8 pagi tadi mendapati kebanyakan pengundi yang keluar merupakan golongan warga emas dan wanita.
Jentera parti yang bertanding terutamanya Barisan Nasional (BN) turut membantu membawa orang ramai terutamanya pengundi ke pusat pengundian.

