Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin berisiko dikenakan tindakan disiplin parti
Diterbitkan:  Jul 2, 2022 5:00 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman berisiko untuk dikenakan tindakan tatatertib kerana tindakannya mendedahkan perihal dalaman parti serta "menyerang" kepimpinan Umno.

Seorang ahli MKT Umno yang enggan namanya didedahkan berkata jawatankuasa disiplin parti boleh bertindak ke atas ahli Parlimen Pasir Salak itu sekiranya ada laporan dibuat.

"Tindakan Tajuddin telah melanggar etika sebagai bekas ahli MKT, dia berisiko untuk dikenakan tindakan disiplin kerana 'menyerang' kepimpinan parti secara terbuka dan mendedahkan hal-hal dalaman parti (membabitkan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat yang menjadi rahsia parti).

"Walaupun apa yang diperkatakannya banyak perkara tidak benar, dia boleh menyuarakan rasa tidak puas hati melalui saluran parti yang disediakan.

"Jawatankuasa disiplin boleh memanggil Tajuddin jika ada laporan dibuat," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 27 jun lalu, Tajuddin mengadakan sidang media, beberapa hari selepas dia digugurkan sebagai ahli MKT Umno.

Tajuddin dalam sidang medianya itu antara lain mendakwa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumpul akuan bersumpah (SD) membabitkan sokongan ahli Parlimen Umno bagi menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Selain itu dia turut mendakwa Ahmad Zahid tidak layak untuk memimpin Umno bagi menghadapi PRU15 kerana telah menjadi liabiliti kepada parti ekoran pertuduhan dihadapi di mahkamah.

Sebelum mengakhiri sidang medianya, Tajuddin berkata dia masih sayangkan Umno dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan ekoran pendedahannya itu.

Dalam pada itu sumber MKT berkata Tajuddin boleh dipecat daripada parti susulan tindakannya itu.

"Ia bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin parti setelah siasatan dan proses sewajarnya dilakukan.

"Jika jawatankuasa disiplin membuktikan wujud salah laku yang membolehkan dia dipecat, keputusan itu akan dibawa ke dalam mesyuarat MKT untuk memutuskannya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS