Jentera Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Batu Talam mendapati ada di kalangan ahli Umno yang tidak mahu keluar mengundi dengan alasan parti dan pihak berkuasa Felda tidak menyelesaikan masalah peneroka.

Antaranya ialah masalah permohonan pinjaman untuk membaiki rumah, bekalan tanaman baru dan sistem penjualan buah kelapa sawit kepada pihak luar, yang dibenarkan oleh Felda.

"Kita memujuk mereka supaya keluar mengundi sebagai satu latihan menjelang pilihanraya umum," kata Exco Pemuda Umno, Datuk Idris Haron kepada malaysiakini.

"Ini kerana kita mahu menunjukkan kepada pihak pembangkang bahawa boikot mereka tidak berkesan apabila ramai pengundi yang keluar mengundi hari ini," katanya kepada malaysiakini.

Beliau menyatakan daripada jumlah undi Felda, 90 peratus dipercayai menyokong calon BN.

Tidak dapat kesan

"Apabila peratus mengundi tinggi, maka PAS dan pembangkang tidak mempunyai isu untuk diketengahkan dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Sementara itu, katanya, Umno mendapati kira-kira 150 pengundi tidak dapat dikesan di alamat di Felda Tersang seperti yang dinyatakan dalam daftar pemilih.

Katanya, jentera BN parti menggunakan motosikal untuk mengesan pengundi berkenaan di alamat mereka, tidak mereka tiada di situ.

Katanya, mereka mungkin bekerja di tempat lain atau telahpun berhijrah tanpa menukar alamat dalam daftar pemilih.