Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris tabik 'spring' pada TH: Jemaah M'sia bertuah

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad memuji perkhidmatan terbaik yang dipamerkan Lembaga Tabung Haji (TH) sejak musim haji 1443 Hijrah bermula.

Beliau berkata komitmen oleh TH bukan sahaja ketika jemaah berada di Tanah Suci malah bermula dari tanah air dan kesungguhan TH dalam menyantuni duyufurrahman atau tetamu Allah harus diberi penghargaan semua pihak.

“Jemaah haji Malaysia memang bertuah… saya ‘tabik spring’ kepada TH.

“Keselesaan dan kebajikan jemaah haji menjadi sasaran utama TH bagi memudah serta menyempurnakan urusan jemaah ke arah haji mabrur,” katanya kepada pemberita di Hotel Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat TH dan penginapan jemaah Malaysia di Makkah hari ini.

Terdahulu, beliau yang tiba untuk lawatan kerja telah diberi penerangan mengenai operasi dilaksanakan TH sepanjang musim haji 1443 Hijrah dan persediaan ketibaan hari wukuf.

Menurut Idris, persediaan operasi masyair telah siap sepenuhnya bagi menyambut jemaah haji ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bermula Khamis ini.

“Perkhidmatan sokongan seperti perubatan juga berada pada tahap terbaik dan telah memulakan operasi dengan memberikan perkhidmatan kepada jemaah sejak tiba di bumi barakah ini 4 Jun lepas,” katanya.

Selain itu, Idris memaklumkan 49 penerbangan catar telah digunakan bagi membawa jemaah haji Malaysia menerusi Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines, malah kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia telah sampai ke Makkah.

Beliau berkata penerbangan terakhir tiba pada hari ini kira-kira 10.50 pagi waktu Arab Saudi.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kejayaan pelaksanaan inisiatif prapelepasan Makkah Route.

“Juga atas kepercayaan kepada Malaysia sebagai negara pertama menerima permit hospital dan juga pertama dalam memilih waktu melontar. Ini sudah pasti akan memberikan keselesaan kepada duyufurrahman,” katanya.

Pada lawatan itu, Idris berkesempatan beramah mesra dengan jemaah yang menginap di Abraj Al Janadriyah dan rata-rata mereka meluahkan keterujaan untuk menyambut hari wukuf yang menjadi kemuncak dalam ibadah haji.

- Bernama

Lihat Komen
ADS