Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Ketua demo harga barang naik, ada masa jumpa saya

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa menawarkan untuk bertemu dengan pemimpin bantahan kenaikan harga barang bagi mencari penyelesaian kepada krisis inflasi di negara kini.

Annuar, yang mengetuai pasukan petugas khas ‘jihad’ melawan inflasi, berkata dia bersedia mendengar idea untuk menyelesaikan krisis inflasi yang sedang berlaku.

"Saya nak tawarkan mereka ketua-ketua demon (bantahan kenaikan kos sara hidup) kalau ada masa, datanglah jumpa saya.

"Saya nak dengar idea kalau ada idea. Saya pun tak pandai nak buat sorang. Yang nak demo tu, kalau dia nak bantu saya nak cari jalan. Saya bukan superman," katanya hari ini pada majlis penyampaian anugerah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Ketereh itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu (gambar, atas) mengenai protes berskala besar boleh berlaku dalam beberapa bulan akan datang bagi membantah inflasi dan rasuah.

Menurut laporan, Mohamad berkata bantahan itu mungkin disertai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih, tetapi tidak menjelaskan kan butiran lain mengenai protes yang dicadangkan itu.

“Kalau ia perlu maka saya akan turun. Memang saya (dalam perancangan) akan turun ke jalan raya semula.

“Tidak ada tarikh lagi, ini baru di peringkat mukadimah,” katanya dipetik Sinar Harian.

Gambar fail, protes harga barang naik.

Kata Mohamad lagi, bantahan itu dijangka dibuat sebelum PRU15.

“Bila-bila (sahaja akan) diputuskan, sebab kerajaan tidak mendengar hujah-hujah kita.

“Kita akan bincang dengan NGO lain, kalau boleh bersama dengan semua kumpulan. Mesti tahun ini iaitu sebelum pilihan raya,” jelasnya.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan pasukan petugas yang diketuai Annuar akan bertanggungjawab mengumpul maklumat daripada semua kementerian, agensi dan orang ramai yang berkaitan bagi merangka serta menyelaras strategi bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

Anggota pasukan petugas lain termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Lihat Komen
ADS