Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

IJN berjaya bedah jantung tanpa pemindahan darah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Institut Jantung Negara (IJN) melakarkan satu lagi kejayaan apabila ia menjalankan pembedahan jantung terbuka tanpa pemindahan darah terhadap seorang pesara berusia 56 tahun.

Pembedahan penggantian injap jantung itu bermula jam 8 malam dan memakan masa selama empat jam. Sebelum ini, IJN telah melakukan tiga pembedahan penggantian injap jantung dan yang terakhir kira-kira 10 tahun lalu.

Pembedahan tersebut dijalankan oleh pasukan 10 anggota yang diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kardiothorasik Dr Pau Kiew Kong, demikian menurut laporan Bernama.

Menurut Dr Pau berkata pesakit itu, yang mengalami injap jantung sempit, telah meminta beliau melakukan pembedahan tanpa pemindahan darah atas sebab tertentu.

"Beliau tidak mahu sebarang darah diberikan kepadanya. Kami menghormati permintaan beliau tetapi beliau perlu mengisi borang persetujuan tidak mahu darah sebelum pembedahan dilakukan," katanya.

Dr Pau menjelaskan bahawa pembedahan seumpama itu hanya boleh dilakukan atas permintaan pesakit.

Maksimum darah pesakit

Pemindahan darah yang dianggap sebagai jaringan keselamatan, biasa diamalkan dalam pembedahan besar.

Bagaimanapun, menurut Dr Pau, pembedahan jantung tanpa pemindahan darah agak selamat jika dijalankan dengan betul.

Sebelum pembedahan itu dilakukan, katanya, langkah tertentu akan diambil seperti memaksimumkan darah pada pesakit dengan menggunakan ubat.

Pasukan itu juga cuba meminimumkan kehilangan darah pesakit semasa pembedahan dilakukan.

Secara keseluruhannya, kata pakar jantung itu, IJN mempunyai kepakaran untuk menjalankan pembedahan seumpama itu berdasarkan permintaan pesakit.

"Kami boleh melakukan pembedahan jantung tanpa pemindahan darah dengan selamat," katanya.