Bekas pembantu MP Sungai Siput buat rayuan kes saman
Bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan merayu ke Mahkamah Rayuan selepas kes saman fitnah terhadap bekas majikannya ditolak.
Ketika dihubungi, R Indrani mengesahkan notis rayuan telah difailkan selepas penolakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap saman sivil itu.
"Saya telah memfailkan rayuan hari ini setelah tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
"Dengan ini, saya membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan itu," katanya.
Untuk rekod, pada 29 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes saman malu yang difailkan terhadap Kesavan selepas wakil rakyat PKR itu menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.
Mahkamah menetapkan kedua-dua pihak perlu menanggung sendiri kos guaman.
Ini selepas Hakim Azmah Omar menyimpulkan kedua-dua pihak dalam kes saman ini, iaitu plaintif yang juga bekas bendahari PKR Sungai Siput dan defendan pemimpin PKR Perak mempunyai hubungan sulit.
Bagaimanapun, Indrani menafikan kesimpulan hakim dan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan.

