Penulis blog Ahirudin Atan dan New Straits Times Press (NSTP) hari ini masing-masing bersetuju tidak akan menerbit sebarang ulasan yang dianggap prejudis terhadap kes saman NSTP terhadap penulis berkenaan.

Peguam Ahirudin dan NSTP mengeluarkan kenyataan bersama itu di depan hakim Mohamad Hishamuddin Yunus selepas kes itu didengar dalam kamar hari ini.

Ahirudin yang lebih dikenali sebagai Rocky dan mengendalikan blog Rocky's Bru, merupakan bekas pengarang akhbar The Malay Mail dalam kumpulan NSTP .

Peguambelanya, Edmund Bon berkata lebih 400 ulasan telah ditarik semula dari blog itu secara sukarela.

Bon memberitahu malaysiakini bahawa penarikan balik ulasan itu bukan bermaksud pengakuan terhadap tuntutan NSTP.

Katanya, Ahirudin telah menarik balik ulasan terbabit hujung minggu ini dan bukannya dibuat atas permintaan NST tetapi sebagai menghormati proses undang-undang.

Kes Jeff Ooi esok

Mahkamah akan mendengar permohonan Ahirudin untuk membatalkan saman NSTP itu pada 22 Februari depan.

Ahirudin disaman oleh NSTP, Timbalan Pengerusinya, Datuk Kalimullah Hassan; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Hishamudin Aun dan bekas Pengarang Kumpulannya, Brenden Pereira.

Selain Bon, Ahirudin turut diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar. Manakala peguam Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Rishwant Singh mewakili para plantif.

Plantif juga memfailkan saman terhadap seorang lagi blogger, Jeff Ooi yang mengendalikan blog 'Screenshots'. Menurut Ooi, peguamnya atelah memfailkan permohonan Jumaat lalu untuk membatalkan saman NSTP itu.

NSTP telah memperolehi perintah sementara mengarahkan Ooi menarik balik 13 ulasan daripada blognya. Permohonan penuh Ooi akan dengar esok. Berita asal