PAS dakwa boikot praya kecil Batu Talam berjaya
PAS menganggap tindakan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam telah berjaya mencapai matlamatnya apabila peratus pengundian berkurangan hampir 10 peratus berbanding dengan pilihanraya umum yang lalu, kata Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali.
PAS menganggap tindakan pembangkang memboikot pilihanraya kecil Batu Talam telah berjaya mencapai matlamatnya apabila peratus pengundian berkurangan hampir 10 peratus berbanding dengan pilihanraya umum yang lalu, kata Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali.
Dalam pilihanraya kecil semalam, 67.32 peratus pemilih di Batu Talam keluar mengundi berbanding dengan 76.59 peratus pada 2004 merosot 9.27 peratus.
Sehubungan itu, kata Mustafa, PAS akan membuat kajian untuk mengetahui siapa mereka yang tidak keluar mengundi semalam, sama ada dari kalangan ahli pembangkang, pengundi atas pagar atau pihak lain.
Pada umumnya, pesuruhjaya PAS Terenganu itu berkata, usaha Barisan Alternatif (BA) yang terdiri daripada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap berjaya.
Lagi pula, katanya, kawasan pilihanraya kecil Batu Talam merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), khususnya Umno.
"Kajian tersebut akan dijadikan garispanduan kepada PAS, khususnya untuk memastikan tindakan boikot pilihanraya seterusnya akan lebih berkesan,"katanya.
Dakwaan BN
Mustaffa menegaskan demikian ketika diminta keputusan pilihanraya kecil Batu Talam yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti dua kali ganda.
Calon BN, Abdul Aziz Mat Kiram menang dengan majoriti 5,857 apabila mendapat 6,276 undi manakala calon Bebas, Ng Chee Pang hanya mendapat 419 undi dan hilang wang pertaruhanya.
Menurut Mustafa lagi, pada perancagan awalnya, BA mensasarkan untuk mengurangkan antara 10 hingga 15 peratus pengundian dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Beliau berkata, biasanya dalam pilihanraya kecil, jumlah peratusan yang keluar mengundi lebih ramai berbanding pilihanraya umum. Katanya, ini dapat dibuktikan dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir (Kelantan) pada 6 Disember 2005 di mana 83.04 peratus pemilih keluar mengundi, berbanding dengan 77.6 peratus dalam pilihanraya umum 2004.
"Jadi dakwaan BN bahawa peratus pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil itu rendah adalah tidak benar," katanya.

