Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | MB Kedah digesa ambil tanggungjawab, henti salahkan alam

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan negeri Kedah supaya lebih bertanggungjawab terhadap kejadian banjir di Baling, Kedah dan kemusnahan yang telah mengakibatkan tiga orang maut, termasuk seorang wanita hamil serta ratusan yang lain kehilangan tempat tinggal.

SAM amat terkejut dengan jawapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sekali lagi menolak pembalakan sebagai punca kepada kemungkinan berlakunya curahan air secara besar-besaran dari anak sungai di Gunung Inas.

Menurut laporan media, menteri besar mengaitkan punca masalah "kepala air", dengan pengumpulan air di bahagian hulu berikutan hujan lebat, sama seperti tragedi Gunung Jerai tahun lepas.

Fenomena kepala air tidak boleh dijadikan alasan yang mudah, apabila kita melihat gambar sejumlah besar pokok dan kayu balak dihanyutkan air yang penuh sarat dengan kelodak.

Selain itu, terdapat juga satu video yang tersebar luas di media sosial yang menunjukkan sebuah syarikat mempromosikan ladang durian musang king di kawasan Gunung Inas, yang membabitkan pembukaan hutan secara besar-besaran.

Menteri besar pasti pernah melihat video itu dan perlu menjelaskan sama ada video itu palsu atau ada kebenarannya, kerana kredibiliti kerajaan Kedah dipertaruhkan dalam perkara ini.

Jawapan MB Kedah yang menyalahkan alam semula jadi sebagai punca banjir teruk itu adalah tidak bertanggungjawab, apabila ia bertentangan sama sekali dengan logik dan akal fikiran bahawa hulu Gunung Inas tidak berada dalam keadaan asli dan tidak bebas daripada gangguan tanah.

Pembukaan tanah yang sedang berlaku mungkin bukan untuk pembalakan, tetapi yang pastinya, tidak boleh dikatakan bahawa tiada apa yang berlaku di kawasan itu.

Gambar fail, penebangan hutan untuk ladang Musang kKing di Gunung Inas.

Kami juga turut merasa terkilan dengan maklum balas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut berkata bahawa tiada aktiviti pembalakan aktif dilaporkan di Hutan Simpan Gunung Inas dan banjir mungkin berpunca daripada fenomena pertambahan air yang melanda, menyuarakan sentimen yang sama dengan MB Kedah.

Penegasan menteri bahawa 5,000 pokok telah ditanam di kawasan seluas 52 hektar sebagai sebahagian daripada usaha penghutanan semula di kawasan itu tidak menenangkan kami, apabila usaha tersebut itu adalah tidak signifikan, berbanding ratusan atau ribuan hektar yang ditebang untuk ladang atau tujuan lain.

Bagi menjelaskan perkara itu dan meyakinkan semula orang ramai, SAM sekali lagi menggesa kerajaan negeri Kedah supaya mengadakan suruhanjaya siasatan awam bagi mendapatkan punca kepada kejadian itu, baik dalam kes banjir di Baling mahupun dalam tragedi Gunung Jerai (gambar, bawah).

Jelas sekali, terdapat lebih banyak perkara di belakang kejadian ini daripada apa yang dapat dilihat, yang perlu diambilkira jika kita ingin mengelak satu lagi tragedi seperti ini.

Siasatan ini amat diperlukan untuk memastikan apa sebenarnya yang berlaku di negeri Kedah dalam hal ini dan apakah langkah serta jurang yang perlu ditangani dengan segera.

Sekadar menyalahkan alam semula jadi tidak akan berkesan lagi, memandangkan kekuatan dan kekerapan hujan lebat sedemikian akibat perubahan iklim akan menjadi masalah yang berulang.

Selain itu juga, tidak cukup untuk kerajaan persekutuan hanya sekadar dilihat sebagai memberi bantuan dan wang tunai.

Ini kerana sekadar langkah bantuan kecemasan seperti itu tidak akan menghalang daripada bencana selanjutnya daripada terus berlaku.

Ia bukan hanya di Kedah tetapi di semua negeri lain juga, di mana penebangan hutan secara berleluasa untuk semua jenis tujuan termasuk untuk pembalakan, perladangan dan aktiviti perlombongan dibenarkan.

Kini sudah tiba masanya untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab dan mencegah tragedi selanjutnya. Jangan tunggu sampai terjadi lagi bencana.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS