Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pimpinan pusat PKR terima keputusan rasmi pemilihan parti
Diterbitkan:  Jul 7, 2022 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 yang telah diumum Jabatan Pemilihan Pusat (JPP).

Dalam kenyataan, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas malam tadi bagi membincangkan beberapa perkara berhubung Pemilihan 2022 dan Kongres Nasional ke-16.

"MPP turut diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022.

"Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh.

"Walaupun begitu, firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut.

“MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil.

"Oleh yang demikian, MPP dengan ini menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 yang telah diumum JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat)," katanya.

Keputusan MPP semalam sekali gus menjawab desakan beberapa pihak yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan rasmi diumumkan oleh JPP pada 4 Julai lalu.

Sebelum ini, JPP menafikan berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan PKR pada Mei lalu.

Sebaliknya, jawatankuasa itu mengesahkan terdapat cubaan menggodam dalam proses pemilihannya untuk menjejaskan integriti keputusan pemilihan berkenaan.

Lihat Komen
ADS