Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tertanya-tanya mengapa sesetengah ahli parlimen mempunyai kerja sampingan dalam GLC? Jawapannya ialah mereka mempunyai terlalu banyak masa, kata bekas ahli parlimen veteran Shahrir Abdul Samad..

Shahrir yang pernah menjadi ahli parlimen Johor Bahru selama enam penggal berkata penyelesaian adalah dengan memastikan mereka melakukan tugas sebenar mereka sebagai wakil rakyat dan penggubal undang-undang.

“Untuk mengharapkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) (diperkenal semula) bagi memastikan ahli parlimen mejadi makhluk berguna, hanyalah mengharapkan sesuatu yang tidak akan berlaku.

"Saya tidak fikir ia mengenai PSA. Ia mengenai cara ahli parlimen bekerja.

"Sebab itu dari pihak kerajaan, backbenchers mempunyai banyak masa untuk menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya. Kerana mereka tidak cukup bekerja," kata Shahrir pada forum di Petaling Jaya awal hari ini.

Bekas pengerusi Kelab Backbenchers BN itu adalah salah seorang daripada tiga ahli panel pada sesi perbincangan bertajuk 'Akta Perkhidmatan Parlimen: Faedah untuk Orang Ramai?'.

Ia adalah sebahagian daripada program dua hari yang dianjurkan oleh kumpulan reformasi pilihan raya Bersih dan Majlis Peguam.

Menurut Shahrir, dia percaya ahli parlimen dan menteri hari ini dibayar gaji yang 'baik', dan mereka harus dipastikan bekerja keras untuk rakyat.

Dia berkata semua ahli parlimen perlu terlibat dalam perbincangan peringkat jawatankuasa sebelum rang undang-undang dibentangkan di Parlimen, dan bukannya hanya bersuara semasa bacaan kedua.

"Kita perlu mengubah cara parlimen berfungsi. Mari kita ketepikan bunyi bising dalam bacaan kedua, di mana semua orang bercakap tentang dasar, tetapi kerja sebenar adalah perbincangan di peringkat jawatankuasa.

“Adakah kita bersedia sebagai ahli parlimen untuk bersidang dan membincangkan butiran akhir?

"Dan kemudian anda akan mempunyai parlimen yang berkesan, dan ahli parlimen yang berkesan yang tahu tugas mereka. Itulah cara ia memberi manfaat kepada orang ramai," tegas Shahrir.

Lanjutkan tempoh bersidang

Dalam perbincangan berasingan, bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusoff berkata Dewan Rakyat sepatutnya bersidang sekurang-kurangnya 150 hari setahun.

Dia menegaskan bahawa ahli parlimen juga mesti memahami bahawa tugas mereka bukan sahaja untuk berkhidmat kepada pengundi mereka, tetapi juga sebagai penggubal undang-undang.

“Kita perlu ada sidang Dewan Rakyat sekurang-kurangnya 150 hari. Boleh buat. Duduk 70 hari, apa boleh buat?

"Saya tahu ahli parlimen ada kerja yang perlu diselesaikan. Anda perlu bekerja di kawasan pilihan raya anda. Tetapi anda juga penggubal undang-undang," katanya.

Ariff bercakap pada sesi bertajuk 'Speaker, Timbalan Speaker, Aturan Mesyuarat: Kunci utama pembaharuan bagi parlimen yang berkesan".

Sementara itu, pada sesi awal pagi, Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii menggesa kerajaan menggantung Aturan Mesyuarat Parlimen 83(4) yang mengehadkan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Parlimen hanya untuk membincangkan perkara yang dirujuk kepada mereka oleh Dewan Rakyat.

Dia berkata perintah itu melumpuhkan peranan PSC kerana mereka hanya boleh berfungsi sekiranya sesuatu perkara dirujuk kepada jawatankuasa itu oleh dewan.

“Ini bertentangan dengan semangat suruhanjaya PSC dan amalan terbaik di negara lain.

“Secara asasnya, jika seorang menteri mahu mengelak topik kontroversi, mereka hanya tidak merujuk kepada dewan, kita tidak dibenarkan mengetengahkan isu itu.

"Jika kita tidak menangani aturan mesyuarat ini, ia akan melumpuhkan lagi fungsi PSC," katanya.

Bercakap pada forum yang membincangkan skop dan kuasa PSC, Yii menyatakan bahawa aturan mesyuarat Parlimen sebaliknya harus memaksa kerajaan untuk menyokong dan menerima pakai syor yang dibuat oleh PSC.

"Ini adalah salah satu perkara untuk menjadikan kita berkesan dan memberi makna baru kepada fungsi PSC, dan memberi alasan kepada ahli parlimen untuk hadir ke mesyuarat itu."

Lihat Komen
ADS