Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tutup premis perniagaan esok atau lesen batal
Diterbitkan:  Jul 9, 2022 9:08 PM
Dikemaskini: Jul 10, 2022 1:28 AM

Majlis Perbandaran Kota Baru Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengarahkan semua kompleks beli-belah, pasar raya, kedai serbaneka dan restoran makanan segera di negeri ini ditutup sempena Hari Raya Aidiladha esok.

Setiausahanya, Mohd Shaifudeen Md Salleh berkata arahan itu terpakai kepada semua termasuk pengusaha perniagaan bukan Islam.

Memetik laporan New Straits Times (NST), Mohd Shaifudeen mengesahkan mengenai arahan berkenaan.

"Saya ingin mengesahkan bahawa notis itu sah dan terpakai kepada semua termasuk pengusaha bukan Islam di Kelantan. Ia dikeluarkan oleh kerajaan negeri," katanya seperti dilaporkan NST.

Katanya, notis berkenaan dikeluarkan kepada peniaga pada 6 Jul lalu.

Sehubungan itu dia meminta kerjasama peniaga supaya patuh pada arahan yang telah dikeluarkan.

Peniaga yang gagal mematuhi notis berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen perniagaan.

NST melaporkan pengusaha perniagaan meletak notis bagi memaklumkan orang ramai dan pengguna mengenai penutupan itu.

Difahamkan, lebih 300 pengusaha perniagaan di kawasan bandar terbabit terjejas akibat arahan itu.

Sumber di pejabat exco kerajaan Kelantan memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa arahan itu bukan baru dan telah dikeluarkan sejak bertahun-tahun lamanya.

Bagaimanapun, kerajaan negeri berhasrat untuk "memperkasakan" perintah penutupan itu, kata sumber.

Sebelum ini, difahamkan premis terlibat perlu meminta pengecualian daripada terpaksa menutup operasi selama sehari.

ADS