Banteras ceti haram: Fomca saran tubuh Akta Kredit Pengguna
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengulangi cadangannya supaya diwujudkan Akta Kredit Pengguna (AKP) dalam usaha membanteras kegiagan ceti haram di negara ini.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengulangi cadangannya supaya diwujudkan Akta Kredit Pengguna (AKP) dalam usaha membanteras kegiagan ceti haram di negara ini.
Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, akta baru itu boleh diwujudkan dengan menggabungkan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Akta Sewa Beli 1967.
Akta baru itu, tambahnya, hendaklah diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Mohd Yusof berkata, cadangan tersebut telah lama diutarakan oleh Fomca, tetapi masih belum mendapat maklumbalas yang baik daripada pihak kerajaan.
Sehubungan itu, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya peminjam ceti haram turut dikenakan tindakan dalam usaha membanteras kegiatan ceti haram.
"Ini memandangkan kesukaran untuk mengambil tindakan penguatkuasa terhadap ceti haram yang sebahagiannya berlindung di sebalik syarikat pemberi pinjam wang berlesen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sedia pinjaman mudah
Apatah lagi, katanya, pemimjam yang menggunakan khidmat ceti haram itu sendiri sedia maklum tentang kadar faedah tinggi yang dikenakan dan tindakannya jika mereka gagal menjelaskan pinjaman.
Dalam masa yang sama, tegas Mohd Yusof, pihak berkuasa juga perlu terus memantau dan mengambil tindakan terhadap ceti haram.
"Ini termasuk pemantauan terhadap syarikat pemberi pinjam wang yang berlesen yang turut beroperasi seperti ceti haram, kerana mereka boleh mengenakan kadar faedah yang tinggi.
"Menurut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kadar faedah yang boleh dikenakan adalah 12 peratus setahun bagi pinjaman berjamin atau 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa jaminan," katanya.
Mohd Yusof menegaskan, ada di kalangan mereka yang terdesak untuk mendapatkan wang, terpaksa meminjam daripada ceti haram kerana kesukaran mendapatkan pinjaman daripada kewangan, koperasi dan sebagainya.
"Fomca mencadangkan agar syarikat kewangan, koperasi atau badan-badan tertentu seperti Bank Islam, Bank Rakyat, YPEIM dan sebagainya, mewujudkan tabung pinjaman tanpa faedah atau Qardhul Hassan untuk membantu golongan yang terdesak ini," tambahnya.

