ITF gesa syarikat penerbangan murah utamakan keselamatan
Persekutuan Pengangkutan Antarabangsa (ITF) memandang berat sikap pengusaha syarikat penerbangan tambang murah (LCC) yang didakwanya lebih mengutamakan keuntungan daripada memberi perhatian sewajarnya terhadap aspek keselamatan penumpang.
Persekutuan Pengangkutan Antarabangsa (ITF) memandang berat sikap pengusaha syarikat penerbangan tambang murah (LCC) yang didakwanya lebih mengutamakan keuntungan daripada memberi perhatian sewajarnya terhadap aspek keselamatan penumpang.
"Modus operandi LCC ialah apabila berlepas ke sesuatu destinasi, pesawat tersebut tidak akan berpatah balik meskipun berlaku ribut petir di laluan," kata Ahli Jawatankuasa Pemandu Penerbangan Awam ITF, Mustafar Maarof.
"Ini kerana jika berpatah balik, syarikat pengendali terpaksa membayar pampasan gantirugi, makan minum dan penginapan kepada penumpang pesawat mereka," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Ekoran itu, beliau mendakwa, ada juruterbang LCC yang tidak mematuhi peraturan industri penerbangan antarabangsa yang berkaitan dengan aspek keselamatan penumpang.
Beliau yang juga Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu), fenomena ini begitu ketara di negara-negara rantau Asia kerana kebanyakan penumpang lebih mementingkan kemudahan tambang murah.
Pindah tempat
Mustafar mendakwa, walaupun pengusaha LCC membayar gaji tinggi kepada kakitangannya tetapi beban kerja yang berlebihan seperti masa kerja yang panjang, selain sentiasa dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Malah, beliau mendakwa amalan pekerja termasuk juruterbang bekerja dalam jangka masa lama, sudah menjadi lumrah dalam LCC.
Katanya, antara pengusaha LCC di Asia ialah AirAsia, Adam Air, Air Sahara, Cebu Pacific, Jetstar Asia, Lion Air, Indonesia AirAsia dan Thailand AirAsia.
AirAsia merupakan LCC pertama di Malaysia yang mendapat sambutan baik dan beroperasi di seluruh negara dan beberapa destinasi lain di rantau ini.
Sementara itu, Mustafar berkata, sebagaian besar LCC menghalang penubuhan kesatuan sekerja di kalangan kakitangan mereka kerana tidak mahu pekerja menuntut hak sepenuhnya.
Beliau berkata, pihaknya telah mendapat maklumat dari pekerja syarikat penerbangan berkenaan mengenai larangan untuk menubuhan kesatuan sekerja.
"Berikutan itu, pihak ITF telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menjalankan kempen untuk membenarkan LCC di seluruh dunia menubuhkan kesatuan sekerja di syarikat masing-masing," katanya.

