Adun baru: BN akan tunaikan semua janjinya di Batu Talam
Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun) yang baru bagi kawasan Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram berjanji akan memastikan Barisan Nasional (BN) menunaikan semua janji-janji yang dibuatnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Batu Talam minggu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun) yang baru bagi kawasan Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram berjanji akan memastikan Barisan Nasional (BN) menunaikan semua janji-janji yang dibuatnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Batu Talam minggu lalu.
Di samping itu, katanya, BN juga sedang mengumpul maklumat untuk mengenalpasti masalah sebenar penduduk Batu Talam untuk dibantu dan diatasi dengan segera.
Beliau berkata, pihaknya menjangka maklumat tersebut akan diperolehi selewat-lewatnya Jumaat ini dan akan dihantar kepada pihak-pihak berkenaan secepat mungkin.
"Apa yang Barisan Nasional (BN) janjikan kepada pengundi Batu Talam dalam kempen pilihanraya kecil baru-baru ini akan kita tunaikan.
"Mana yang perlu disegerakan akan dilaksanakan secepat mungkin dan yang lain akan menyusul," katanya.ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Dalam pilihanraya kecil Batu Talam Ahad lalu, Abdul Aziz memperolehi 6,276 undi, menewaskan calon Bebas, Ng Chee Pang dengan majoriti 5,857 undi. Ng hanya mendapat 419 undi berbanding dan hilang wang pertaruhannya.
Sedutan temubual
Berikut adalah sedutan temubual melalui telefon dengan Abdul Aziz,47, semalam.
Soalan: Apakah perbezaan setelah menjadi wakil rakyat dengan sebelumnya?
Jawaban: Sudah berbeza sama sekali, kena bekerja kuat sepanjang masa. Kelmarin saya ke Kuala Lumpur untuk menyambut kepulangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semalam saya berada di Batu Talam dan tugas pertama ialah menziarahi orang meninggal dunia.
Dulu saya hanya untuk diri sendiri dan keluarga, kini saya terpaksa bertanggungjawab kepada 10,525 pengundi Batu Talam. Saya terpaksa melawat kampung, taman perumahan, tanah rancangan Felda dan penempatan orang Asli.
Apakah keutamaan yang perlu diselesaikan oleh pihak berkuasa di Batu Talam?
Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), membina dan membaiki jalan kampung dan pembukaan tanah pertanian. Saya memberi jaminan bahawa semua itu mendapat perhatian khusus saya dan pihak berkuasa.
Pada peringkat ini, kita sedang mengumpul maklumat dan seterusnya mencari formula untuk dilaksanakan sebaik mungkin. Jadi saya minta penduduk bersabar kerana ia akan menjadi kenyataan dalam sedikit masa lagi.
Ramai petani mengadu kegiatan ekomi mereka sangat terbatas kerana masalah tanah yang semakin berkurangan? Adakah perkara ini akan diatasi?
Sudah tentu dan ini sewajarnya paling awal dilaksanakan. Satu langkah yang telah diambil ialah dengan melaksanakan projek ekonomi berasaskan pertanian secara berkelompok. Sebagai contoh, sebanyak 100 ekar tanah dimajukan dengan tanaman sayur-sayuran di Kampung Hulu Sungai.
Banyak lagi projek seumpama itu akan dibuka di kampung berhampiran. Apa yang berlaku sekarang ialah tanah dibiarkan tetapi pada masa sama mereka memohon tanah baru. Keutamaan kita sekarang ialah mementingkan petani tulen dan bukannya secara sambilan.
Bagaimana dengan masalah anak peneroka Felda Tersang yang gagal menjadi peneroka kerana Felda Plantation bertindak memajukan sendiri tanah di kawasan tersebut?
Ini satu masalah yang sangat rumit kerana tanah tidak cukup untuk diberikan kepada anak-anak peneroka. Tanah yang ada hanya mampu untuk 200 peneroka tetapi yang memohon menjangkau belasan ribu orang.
Bagaimanapun, saya percaya Felda dan kerajaan negeri sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah tersebut, termasuk mencari kawasan baru untuk diteroka. Mungkin peneroka itu boleh ditempatkan di tanah rancangan lain di luar Felda Tersang.
Masyarakat Orang Asli mendakwa mereka seperti terpinggir sejak sekian lama. Apakah rancangan pembangunan untuk mereka?
Risda dan Felda telah melaksanakan projek-projek pertanian kelawa sawit dan getah di kawasan penempatan Orang Asli seperti di Pos Satak, Sempaling, Budu, Ruai dan Hulu Sega.
Kedua-dua agensi kerajaan itu akan diminta mengkaji untuk memperluaskan projek sedemikian di kawasan Orang Asli lain. Selain itu saya akan meminta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEAO) mengenalpasti keperluan dan bantuan lain untuk kaum berkenaan.
Anda tentu tahu bukan semua pengundi Batu Talam menyokong BN. Bagaimanakah pendekatan untuk membolehkan penyokong pembangkang turut menikmati bersama pembangunan?
Saya bukan wakil rakyat untuk BN sahaja. Saya adalah wakil untuk semua orang - untuk BN, PAS Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan orang yang tidak ada parti politik.
Saya akan membantu jika mereka mahu. Pintu rumah saya sentisa terbuka untuk mereka. Saya akan pergi menemui mereka jika perlu. Jika mereka malu dengan sara, mereka boleh menghnatar orang tengah.
Adakah anda gemar dipanggil Yang Berhormat Abdul Aziz?
Yang Berhormat adalah gelaran formal. Panggil saya Aziz pun boleh, Haji Aziz pun boleh, Malah `saudara' pun boleh. Saya seperti Abdul Aziz yang lama juga.

