Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PIBG sekolah gesa pemaju segerakan bina jalan alternatif

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ampar Tenang, Sepang mendesak sebuah syarikat pemaju agar segera menyelesaikan isu pembinaan jalan alternatif ke sekolah dan padang sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG V Gunalan mendakwa sekolah itu berdepan masalah banjir setelah projek Serenia City oleh Sime Darby Property - yang terletak bersebelahan sekolah itu - dibangunkan.

"Lebih sukar ketika hujan, guru dan murid tidak dapat masuk ke sekolah kerana jalan ke sekolah banjir.

"Jadi, kami telah menuntut syarikat pemaju untuk membina satu jalan alternatif ke sekolah yang hanya lebih kurang 150 meter sahaja dari jalan raya utama,” dakwanya kepada Malaysiakini.

Gunalan mendakwa pihak syarikat terbabit telah “bersetuju secara lisan” untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi setakat ini ia belum dilakukan.

SJKT Ampar Tenang sudah berusia lebih 100 tahun. Asalnya ia terletak di Ladang Ampar Tenang sebelum berpindah ke lokasi sekarang iaitu di Kampung Ampar Tenang.

Gunalan yang juga Ketua MIC Sepang mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sendiri telah masuk campur dalam isu tersebut.

V Gunalan (kanan)

"Sebelum ini, Pengerusi BN Sepang Nor Azli Said, telah mengaturkan perjumpaan di antara pihak sekolah dengan PM.

"Hasilnya, pada 6 Feb, PM membuat minit kepada Sime Darby supaya segera selesaikan isu sekolah ini, termasuk isu padang yang terletak di sebelah sekolah.

"Namun, sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan daripada syarikat pemaju," dakwanya.

Berkenaan padang pula, Gunalan mendakwa ia kini diduduki pihak syarikat pemaju. Justeru katanya, mereka bimbang ia akan digunakan untuk tujuan lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berjanji akan berbincang dengan Sime Darby berhubung isu sekolah itu.

"Saya telah meneliti perkara ini. Saya akan berbincang dengan Sime Darby dalam masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini selepas melawat sekolah itu pada Jumaat lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS