Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tanaman ketum mampu bawa penoreh getah keluar dari kemiskinan'

Perwakilan PKR Perlis berkongsi pandangan bahawa tanaman ketum boleh dijadikan sumber ekonomi baru kepada rakyat khususnya bagi mengimbangi kemerosotan harga komoditi getah.

Berucap pada Kongres PKR di Shah Alam, Natthavuth Seng (gambar atas) berkata, hari ini ramai penoreh getah berusaha keluar daripada kemiskinan dengan memilih menanam ketum

"Hari ini penoreh cuba usaha keluar dari kemiskinan ada yang tolak kebun getah dan tanam kelapa sawit, itu pun tak semua orang mampu kerana masalah kewangan.

"Ramai yang pilih menanam ketum kerana harga ketum melebihi harga getah, ketum sekilo RM30 di mana getah sekilo RM 2.50 sen sehingga RM3.50 sen sahaja. Ketum juga mempunyai permintaan yang tinggi. Lagi-lagi baru-baru ini di negara jiran Thailand telah membebaskan penggunaan ketum menyebabkan permintaan lagi meningkat.

"Mereka usaha, mereka cari jalan tetapi apa yang mereka hadapi hari ini? Kegiatan ini di banteras habis-habisan oleh pihak berkuasa. Tetapi bila mereka tidak cukup wang beli makan pihak berkuasa tidak pernah datang bertanya.

"Jika kerajaan boleh mengeluarkan lesen kasino yang memberi manfaat kepada golongan elit, kerajaan juga harus mencari inisiatif untuk membangun dasar baru bagi kegiatan ini," katanya.

Tambahnya, ketum mempunyai pasaran dan permintaan yang tinggi apatah lagi mengeksportnya ke negara jiran.

Justeru, menurutnya, kerajaan seharusnya menggubal undang-undang bagi mengawal kegiatan ini supaya menguntungkan rakyat.

Maszlee Malik

Rancang dasar pendidikan pasca-Covid-19

Sementara itu perwakilan Johor, Maszlee Malik mencadangkan supaya Majlis Tindakan Pendididkan Kebangsaan (MTPK) diwujudkan bagi merancang dasar pendidikan pasca Covid-19.

Katanya, negara tidak mempunyai dasar jangka masa panjang untuk pelan pendidikan negara selepas berdepan pandemik Covid-19.

"Cadangan kita, kita perjuangkan, untuk adakan pelan besar pendidikan dari tahap pra sekolah- sehingga ke peringkat tinggi dan TVET. Ini hanya boleh dilakukan kalau ada MTPK untuk rangka pelan pendidikan pasca covid, selaras Yang di-Pertuan Agong.

"Negara-negara lain apabila timbul saja laporan bank dunia, mereka bingas untuk rangka pelan jangka masa panjang, selamatkan pendidikan, Malaysia tak ada pelan jangka masa panjang ini. Ini merisaukan kita," katanya ketika berucap.

Selain itu Maszlee menggesa ahli Parlimen dan pemimpin PKR untuk terus memperjuangkan program sarapan percuma yang telah dihentikan kerajaan sebelum ini.

Untuk rekod program sarapan percuma diperkenalkan ketika Maszlee menjadi menteri pendidikan di era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Lihat Komen
ADS