Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee dapat undi tertinggi, kem Rafizi dominasi MPP

Keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang diumumkan hari ini menyaksikan ia didominasi pemimpin yang selari dengan timbalan presiden yang baru dilantik, Rafizi Ramli.

Daripada 20 yang berjaya menerima undi tertinggi daripada perwakilan parti untuk menyertai majlis itu, 13 daripadanya tergolong dalam 'cai' atau kem bekas ahli parlimen Pandan berkenaan.

Mereka terdiri daripada bekas ketua Pemuda PKR Akmal Nasir; Romli Ishak, Fahmi Zainol, Nor Azrina Surip, Lee Chean Chung, Syed Ibrahim Syed Noh, Simon Ooi Tze Min, Raiyan Abdul Rahim, Tan Kar Hing, Zahir Hassan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Hans Isaac, dan Wong Chen.

Tujuh lagi tokoh yang dipilih membarisi senarai MPP ialah Maszlee Malik, Mohd Yahya Mat Sahri, Siti Aisyah Syed Ismail, David Cheong Kian Young, Hee Loy Sian, Amidi Abdul Manan dan Elizabeth Wong.

Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam menerima undian tertinggi dengan 1,091 undian, diikuti Akmal yang juga ahli parlimen Johor Bahru, dengan 956 undi.

Seramai 73 calon bertanding untuk mengisi 20 senarai bagi jawatan berkenaan.

PKR mengadakan pemilihan pada Mei lalu dan menyaksikan ahli parti secara umumnya berada di belakang dua kem utama iaitu Rafizi dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail.

Rafizi muncul sebagai pemenang selepas menerima 59,678 undi menewaskan Saifuddin (43,010).

Bagaimanapun, dua lagi jawatan penting parti - Ketua Pemuda dan Wanita PKR - dimenangi oleh Adam Adli dan Fadhlina Sidek, yang diketahui sehaluan dengan Saifuddin.

Jawatan presiden parti dimenangi tanpa bertanding oleh Anwar Ibrahim.

Lihat Komen
ADS