Guru Kafa disyaki hempas murid dah dibebaskan dari reman
Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sebuah sekolah di Marang yang disyaki menghempas seorang anak murid lelakinya hingga patah kaki, dibebaskan daripada reman dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata pihaknya telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan telah merekodkan semua keterangan daripada guru lelaki terbabit.
“Bahan bukti juga sudah kami kumpul dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya, jadi tak perlu lagi untuk polis menahan reman guru tersebut,” katanya.
Sebelum ini, ibu kepada seorang murid lelaki berusia sembilan tahun mendakwa kaki kanan anaknya patah selepas dihempas ke atas kerusi oleh seorang guru Kafa sewaktu sesi pengajaran pada 6 Julai lepas.
Kejadian itu dikatakan berlaku kerana guru tersebut berang dengan perlakuan murid tahun tiga berkenaan di dalam kelas.
- Bernama

