Beberapa pemimpin pembangkang dikehendaki memberi keterangan kepada pihak polis Isnin ini mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana didakwa mendedahkan kandungan perjanjian konsesi tol.

Mereka yang dipanggil memberi keterangan itu adalah Pemimpin DAP, Ronnie Liu; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurut Liu, beliau menerima notis dikehendaki hadir memberi keterangan itu pagi ini, yang disampaikan dipanggil oleh sekumpulan lima anggota polis dari Bukit Aman.

"Saya dikehendaki datang ke ibupejabat polis Bukit Aman pada 5 Februari 2007 jam 10 pagi," katanya sambil menambah, beberapa pemimpin parti itu akan ikut sama ke Bukit Aman Isnin ini.

Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu disiasat di bawah OSA kerana mendedahkan kandungan perjanjian tersebut.

Chua pula menerima notis tersebut di pejabat pusat penerangan PKR di Brickfields manakala Khalid menerima saman itu di kediamannya di Damansara Heights.

Ketika dihubungi, Chua berkata, mereka akan mematuhinya tetapi mencabar keputusan kerajaan mengklafikasikan dokumen tersebut di bawah OSA.

Beliau mendakwa wujudkan pengaruh politik dalam tindakan polis terhadap mereka.

"Kami telah membuat begitu banyak aduan mengenai rasuah tetapi sehingga ini tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis," tambahnya.

Gagal hadir

Menurut notis yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP A Rajakopal, mereka bertiga juga dikehendaki mengemukakan semua dokumen dan salinan dokumen yang ada kaitan dengan perjanjian antara kerajaan dengan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd.

Mereka juga diingatkan bahawa ia menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 akta jika gagal hadir Isnin ini.

Polis berkata, mereka menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 8 akta tersbut, berdasarkan kepada satu laporan polis yang dibuat di Damansara.

Pada 4 Januari lalu, ketiga mereka serta Dr Hatta Ramli dari PAS, telah menunjukkan kepada pemberita salinan dokumen mengenai perjanjian konsesi tol bagi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Ekoran itu, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu telah mencadangkan kepada Kabinet supaya Peguam Negara mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab 'mencuri dan mempamerkan" kandungan perjanjian konsesi tol.

Katanya, perjanjian tol antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya akan terus diklasifikasikan di bawah OSA. Berita asal