Hina Islam: Mufti Pulau Pinang mahu undang-undang diperketat
Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd mahu undang-undang sedia ada disemak dan diperketat lagi supaya dapat membendung individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Katanya pihak berkuasa juga perlu sentiasa bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad dan pelaku perlu dikenakan hukuman yang lebih keras.
"Demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, pihak berkuasa perlu sentiasa bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad yang mulia itu dan seterusnya dikenakan hukuman yang lebih keras.
"Saya juga berpendapat undang-undang sedia ada perlu disemak semula dan diperketatkan lagi supaya dapat membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan sedemikian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Salim berkata demikian sebagai mengulas satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki didakwa menghina Allah dan Nabi Muhammad dengan pelbagai kata-kata makian.
- Bernama

