Singapura menafikan dakwaan bahawa tebusguna tanah di Pulau Tekong di republik ini sebagai penyumbang kepada banjir teruk di Johor baru-baru ini.

Sehubungan itu, republik tersebut menyifatkan dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengenai perkata itu sebagai "tidak berasas".

Kementerian Pembangunan Negara (MND) republik itu berkata, ini kerana tidak ada asas saintifik mengenai punca masalah itu, demikian menurut laporan Bernama.

"Komen itu tidak berasas," kata kementerian tersebut.

"Ini disahkan melalui hasil kajian teknikal yang dijalankan secara berasingan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura sebagai sebahagian daripada prosiding penyelesaian pertikaian mengenai kerja tebusguna tanah Singapura di Pulau Tekong dan Perluasan Pandangan Tuas Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS)," tegasnya.

Selasa lalu, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman berkata tebusguna tanah oleh Singapura di Pulau Tekong menyumbang kepada banjir besar di Johor.

'Muara sempit'

Abdul Ghani berkata, tebusguna tanah itu telah menyebabkan muara Sungai Johor telah sempit dan melambatkan pengaliran air hujan yang berlebihan ke Selat Johor.

Malah, tegas kementerian itu, kajian hidraulik pantai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada September 2002 mengenai impak kerja tebusguna Singapura menunjukkan tidak ada perubahan jelas pada paras air dalam Selat Johor.

"Dengan itu, kajian tersebut mendapati bahawa tidak ada penambahan banjir disebabkan kerja tebusguna Singapura," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, satu laporan penilaian alam sekitar berasingan yang disediakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk kerajaan Malaysia juga melaporkan penemuan yang sama.

"Kajian teknikal berasingan yang dijalankan kerajaan Singapura pada 2003 juga memperoleh hasil kajian yang sama.

"Pada hakikatnya, berdasarkan kepada hasil kajian ini, kumpulan pakar yang dilantik oleh kedua-dua kerajaan bagi mengkaji kerja tebusguna telah mencadangkan bahawa ia tidak perlu untuk impak banjir dinilai selanjutnya oleh perunding teknikal tersebut bertujuan menjalankan kajian bersama. Ini diterima oleh kedua-dua kerajaan," menurutnya.