Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada khabar untuk permohonan Kelantan dapatkan dana RM1.3b

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri belum menerima sebarang perkhabaran atau respon berhubung permohonan mereka mendapatkan geran RM1.3 bilion daripada Putrajaya dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, berkata kerajaan negeri mengemukakan permohonan terbabit sejak Jan 2021 lagi bagi menampung kos menukar paip baru sepanjang 4,006 kilometer (km).

"Setakat ini belum ada (maklum balas) berkait permohonan itu, cuma setakat ini kita (kerajaan negeri) buat kerja menggunakan peruntukan melalui pinjaman Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

"Tahun ini diluluskan peruntukan sebanyak RM68 juta untuk kita tukar paip sepanjang 106km dan proses ini sedang berjalan," katanya.

Tambah Azami kerajaan negeri sangat berharap permohonan bernilai RM1.3 bilion itu diberi perhatian dan diluluskan melalui Belanjawan 2023 nanti.

Menurutnya dia juga berjumpa beberapa kali dengan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala Menteri Besar Ahmad Yakob berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Hal itu katanya masih dalam perbincangan.

Azami berkata demikian kepada media selepas menghadiri sidang DUN di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut Adun Kadok itu berkata kerja-kerja menukar paip lama juga akan mengambil masa panjang kerana membabitkan banyak agensi.

Selain peruntukan besar itu, katanya, kerajaan negeri juga perlukan satu persefahaman yang baik dengan semua pihak untuk kerja-kerja menukar paip berkenaan.

"Kerja-kerja menukar paip lama yang uzur ini akan membabitkan banyak agensi antaranya seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi utiliti berkaitan kerana sebahagian paip ini kedudukannya di bawah jalan raya," katanya.

Sementara itu Azami memberitahu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merekodkan sekitar 52 peratus air tidak terhasil (NRW) antara lain berpunca daripada kebocoran paip-paip lama.

"Ini bermakna kalau kita keluarkan air 100 peratus yang sampai kepada rakyat (pengguna) sebanyak 48 peratus saja.

"Yang lain hilang di tengah jalan misalnya kerana paip-paip bocor, jadi ia merugikan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS