Pentadbiran Presiden President George W Bush didesak menggantung rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia sebagai membantah cadangan perjanjian tenaga antara sebuah syarikat dari Malaysia dengan Iran yang terbabit dalam kontroversi penghasilan senjata nuklear.

Senator Tom Lantos, Ketua Panel Kongres Mengenai Halehwal Asing, menyifatkan sebagai "menjijikkan" cadangan perjanjian tenaga bernilai AS$16 bilion itu antara syarikat minyak milik Iran dengan syarikat dari Malaysia Kumpulan SKS.

"Kerana itulah hari ini, saya menghantar surat kepada wakil perdagangan (USTR) kita, Susan Schwab, meminta supaya semua rundingan antara Amerika dengan Malaysia mengenai PTA digantung sehingga Malaysia membatalkan cadangan tersebut," kata Lantos sewaktu sidang kongres.

Amerika dan Malaysia (yang majoriti rakyatnya beragama Islam), sedang bersiap sedia untuk mengadakan rundingan pusingan kelima yang merupakan pusingan terpenting untuk merangka perjanjian perdagangan bebas sebelum kuasa Bush untuk berbuat mengesahkannya, berakhir Jun ini.

Dalam suratnya kepada Schwab salinannya diperolehi AFP Lantos menyifatkan perjanjian Malaysia-Iran itu sebagai "sesuatu yang merisaukan dan saya percaya, satu tindakan segera perlu dilakukan oleh pentadbiran (Bush)".

Kongres Amerika baru-baru melanjut dan memperkuatkan lagi Akta Sekatan Terhadap Iran, yang membabitkan sekatan terhadap syarikat-syarikat yang terlibat dalam sebarang pembangunan tenaga Iran "sepertimana dalam kes ini," kata Lantos.

Perjanjian untuk tempoh 25 tahun itu adalah untuk memajukan telaga gas luar pantai di Ferdos dan Golshan di tenggara Iran dan membina loji gas asli cecair (LNG).

"Memandangkan tujuan asas mana-mana FTA adalah untuk memperkukuhkan lagi kerjasama yang konsisten dengan matlamat strategik umum Amerika, maka saya percaya kita mempuyai hak untuk menjangka kerajaan Malaysia turut bersama kita mengutuk perjanjian LNG itu, dan lebih penting lagi, untuk memastikan ianya dibatalkan sebelum kita meneruskan rundingan (FTA) selanjutnya," kata Lantos.

Malaysia, tambahnya, akan meraih faedah yang besar daripada FTA dengan Amerika, dan "ianya penting bagi rakan dagang kita tidak terbabit, secara aktif atau pasif, dengan apa-apa yang boleh menjejaskan dasar asas keselamatan kita".

Sementara itu, pejabat USTR berkata, pihaknya sedang mengkaji permintaan Lantos tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.

"Kita telah menerima surat itu dan sedang menelitinya," kata jurucakap USTR, Stephen Norton kepada AFP.

Kemungkinan sekatan

Perjanjian dengan syarikat gergasi minyak Repsol dari Sepanyol dan Royal Dutch Shell untuk membantu mengkomersialkan simpanan gas asli Iran, juga boleh mencetuskan bantahan yang sama dari pihak Amerika.

Agensi berita Iran, ISNA melaporkan Ahad lalu bahawa Iran menandatangani perjanjian awal dengan Repsol dan Shell untuk mengeluarkan gas asli cecair dari telaga gas Iran menerusi perjanjian kira-kira AS$10 bilion.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Sean McCormack berkata, perjanjian pelaburan itu, jika disahkan, akan mencetuskan siasatan oleh pihak Amerika dan kemungkinan dikenakan sekatan di bawah undang-undang Amerika.

Akta Sekatan Iran-Libya 1996 memberi kuasa kepada presiden untuk mengenakan sekatan terhadap syarikat-syarikat yang melabur lebih AS$20 juta dalam sektor tenaga Iran.

Iran juga baru-baru ini berkata, ia akan memuktamadkan Februari ini, perjanjian pengeluaran gas bernilai AS$16 bilion dengan syarikat pengeluar minyak luar pantai terbesar dari Cina CNOOC.

Beijing juga merupakan pembeli kedua terbesar produk tenaga Iran yang mempunyai simpanan minyak kedua terbesar selepas Arab Saudi, dan simpanan gas yang kedua terbesar selepas Russia.

- AFP