Kaukus pelbagai parti bagi teruskan pembaharuan parlimen dibentuk
Dua belas ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang membentuk kaukus untuk meneliti dan meneruskan pembaharuan Parlimen.
"Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti" akan diketuai oleh Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya).
Dalam satu kenyataan, Maria Chin dan Azalina berkata kaukus itu bermesyuarat semalam dan telah memutuskan bahawa ia akan menjadi platform untuk memberi manfaat kepada semua ahli parlimen dengan matlamat menjadikan parlimen "benar-benar profesional dan bertaraf dunia".
Antara lain, kaukus itu telah bersetuju untuk meneruskan pengenalan "masa urusan bukan kerajaan", memudahkan penerimaan Rang Undang-undang Persendirian, pendigitalan proses parlimen, memperkasakan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan.
"Kami juga bimbang tentang ketidakseimbangan jantina dalam kepimpinan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Kami melihat kepentingan mempunyai timbalan speaker di kedua-dua Dewan yang mencerminkan kepelbagaian dari segi jantina, wilayah dan kepartian," kata Azalina dan Maria Chin dalam satu kenyataan bersama.
Kaukus parlimen ialah kumpulan ahli parlimen yang longgar atas agenda bersama.
Ahli kaukus lain ialah Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Loke Siew Fook (PH-Seremban), Mohd Redzuan Md Yusof (PN-Alor Gajah), Wong Shu Qi (PH-Kluang), Madius Tangau (PH-Tuaran), Darell Leiking (Warisan-Penampang), Larry Sng (PBM-Julau) dan Baru Bian (PSB-Selangau).
Antara parti yang tidak mengambil bahagian ialah PAS, MCA dan MIC.

