Malaysia tidak mengiktiraf kuasa Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), mengakibatkan timbul kekusutan apabila pelarian yang ditangkap pihak berkuasa negara ini, diminta dibebaskan kerana mereka diberi perlindungan oleh UNHCR, kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

"Negara kita tidak merestui dan tidak menandatangani perjanjian berkaitan pelarian. Kita tidak mengakui dan bermakna kita tidak menerima pelarian yang dianjurkan oleh UNHCR.

"Walaupun dia (UNHCR) ada di sini, kita hanya sebagai sebuah negara yang bersama-sama negara lain yang menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Kita menerima kehadiran mereka, tetapi tidak mengakui kuasa mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Umno kepada Pusat Pengumpulan Sumbangan Bantuan Mangsa Banjir Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Berikutan itu, kata Radzi, kementeriannya akan menyediakan satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada kabinet bagi mendapatkan panduan dalam menangani masalah warga pelarian yang dilindungi UNHCR di negara ini.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, panduan tersebut akan membantu untuk mengatasi kekusutan yang timbul berikutan keadan tersebut.

Status pelarian

Mohd Radzi diminta mengulas mengenai masalah seorang pemilik tanah di Bangi yang mengadu tanahnya dicerobohi sekumpulan pelarian Myanmar berstatus pelarian UNHCR dan pihak berkuasa yang sebelumnya enggan bertindak, hanya mengambil tindakan setelah perkara itu disiarkan oleh pihak media.

Dalam serbuan ke kawasan itu Ahad lepas, pihak berkuasa menahan 176 pendatang Myanmar termasuk 16 wanita yang membuat 50 khemah haram di Kampung Sungai Merab.

Pendatang itu didapati mendirikan perkampungan haram sejak lima tahun lepas, yang turut dilengkapi dengan kemudahan gelanggang bola tampar, rumah ibadat, gerai makan, bilik mandi, perigi dan tempat tadahan air.

Kesemua pendatang itu mengaku mempunyai kad pelarian yang dikeluarkan oleh UNHCR tetapi semakan di pejabat imigresen mendapati kebanyakan kad itu palsu.

Mereka yang mempunyai kad UNHCR yang sah dibebaskan manakala yang lain ditahan di depoh tahanan pendatang asing.

Ditanya mengenai perkara itu, Mohd Radzi turut menafikan dakwaan bahawa kekurangan kakitangan kementerian itu menjadi punca masalah pencerobohan warga Myanmar itu gagal diselesaikan lebih awal.

Dasar kemanusian

"Jadi sekarang apa kita nak buat? Apabila kita tangkap dia (pelarian), UNHCR datang dan berkata itu (pelarian) anak buah mereka. Kita tak merestui tindakan UNHCR, tetapi oleh kerana dasar kemanusiaan dan lagipun mereka dipantau UNHCR kita kata tidak apalah.

"Tetapi kalau bilangan pelarian itu besar, tidak bolehlah (dilepaskan). Kalau dua hingga tiga orang kita lepaskan," katanya.

Mohd Radzi berkata pendatang asing yang ditahan akan disiasat sebelum dibicarakan di Mahkamah Pendatang Tanpa Izin (Pati) yang diwujudkan untuk membasmi kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini.

Katanya, sehingga kini mahkamah itu telah berjaya menyelesaikan 2,000 kes berkaitan pendatang asing dan mereka yang memiliki pas lawatan palsu.

Sementara itu, ditanya mengenai masalah kanak-kanak di negara ini yang tidak bersekolah kerana tiada dokumen pengenalan diri, Mohd Radzi meminta semua wakil rakyat memantau keadaan itu dan mengambil tindakan lanjut untuk menyelesaikannya.