Guru besar: Tiada murid SK Telok Mas belajar bawah khemah
Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Mas di daerah Melaka Tengah mengesahkan memang ada murid-muridnya yang terpaksa belajar di tepi tangga bangunan sekolah yang usang kerana kelas tidak mencukupi sejak dua tahun lalu.
Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Mas di daerah Melaka Tengah mengesahkan memang ada murid-muridnya yang terpaksa belajar di tepi tangga bangunan sekolah yang usang kerana kelas tidak mencukupi sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Guru Besar sekolah tersebut, Khalijah Khalid berkata, tidak ada murid yang belajar di bawan tangga atau di bawah khemah seperti yang dilaporkan oleh pihak media sebelum ini.
"Khemah hanya digunakan sebagai tempat murid berehat, seperti selepas makan di kantin dan sebelum pulang ke rumah," katanya ketika diminta mengulas laporan bahawa kira-kira 240 murid sekolah itu belajar di bawah tangga dan di bawah khemah kerana kelas tidak mencukupi.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, sebahagian besar murid terbabit ditempatkan di dalam kelas Kemahiran Hidup, dalam bilik sembahyang dan di kantin sekolah yang diubahsuai menjadi kelas.
"Hanya 10 murid sahaja yang belajar di tepi tangga bangunan lama dan bukannya ramai seperti yang dilaporkan," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
Khalijah menjelaskan kekeliruan itu berlaku apabila seorang jurugambar akhbar tempatan datang mengambil gambar murid-murid di bawah tangga dan di bawah khemah.
Apabila berita tersebut disiarkan, katanya, beliau bertanya kepada murid-murid terbabit mengenai perkara tersebut.
Hantar laporan
"Mereka memberitahu, jurugambar akhbar itu yang menyuruh mereka mengakui bahawa mereka belajar di bawah tangga dan di bawah khemah," katanya.
Menurutnya, khemah di kawasan sekolah itu dipasang sebagai tempat murid berehat.
Khalijah berkata, beliau telah menghantar laporan kepada pegawai Jabatan Pelajaran Melaka dan Exco Pelajaran dan Teknoloji Melaka, Datuk Yaakob Mohd Amin.
Beberapa hari lalu, katanya, beberapa orang pegawai dari Jabatan Pelajaran negeri datang melawat sekolahnya dan memberitahu pembinaan bangunan baru akan dimulakan secepat mungkin.
Sementara itu, Yaakob, ketika dihubungi malaysiakini , mengesahkan telah menerima laporan dari Khalijah berhubung perkara tersebut.
Katanya, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada Kementerian Pelajaran bagi membina segera bangunan baru di sekolah tersebut.
Beliau berkata, murid berkenaan hanya belajar sementara di tepi tangga sekolah sementara menunggu bangunan baru dibina.
"Saya berharap pihak kementerian memberi perhatian khusus terhadap perkara tersebut demi keselesaan murid-murid untuk belajar," katanya.

