Malaysia tidak akan tunduk dan akan menolak sebarang tekanan politik daripada kerajaan Amerika Syarikat dalam rundingan berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Kita menolak tekanan yang dikenakan, kita negara berdaulat dan mempunyai pendirian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula Kolej Komuniti di Kepala Batas hari ini.

semalam, pentadbiran Presiden President George W Bush didesak menggantung rundingan FTA dengan Malaysia sebagai membantah perjanjian projek pembekalan tenaga antara sebuah syarikat Malaysia dengan negara Iran yang kini terbabit dalam kontroversi penghasilan senjata nuklear.

Senator Tom Lantos, Ketua Panel Kongres Mengenai Halehwal Asing, menyifatkan sebagai "menjijikkan" cadangan perjanjian tenaga bernilai AS$16 bilion (RM57.6 bilion) antara syarikat minyak milik Iran, National Iranian Oil Company, dengan syarikat Malaysia Kumpulan SKS.

Ekoran itu, Lantos mengirim surat kepada wakil perdagangan Amerika Susan Schwab meminta semua rundingan antara kuasa besar itu dengan Malaysia mengenai FTA digantung sehingga Malaysia membatalkan perjanjian yang dicadangkan dengan Iran itu.

Mengulas lanjut mengenainya, Bernama melaporkan Abdullah sebagai berkata, Amerika tidak ada hak untuk menghalang Malaysia menjalinkan urusniaga perdagangan dengan mana-mana negara, walaupun setelah negara ini menjalinkan FTA dengan mereka.

Tiada agenda politik

"Ini soal perniagaan, jangan masukkan perkara-perkara berkaitan politik. Dalam perjanjian ini, tiada perkara politik yang perlu dibawa masuk dalam rundingan," kata beliau.

Ditanya sama ada kemungkinan hubungan dagangan antara Malaysia dengan Amerika akan terjejas dengan pendirian Malaysia, Perdana Menteri menjawab:

"Kita tetap dengan pendirian kita...dalam politik kita mempunyai pandangan yang berbeza dan kita kekal dengan pendirian kita...politik jangan dibawa dalam perniagaan...kita tunggu apa mereka kata," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia mahu perjanjian itu dikaji semula, Abdullah berkata: "Kita tengok nanti".

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dipetik sebagai berkata beliau bersedia untuk menasihatkan kerajaan supaya membatalkan rundingan FTA itu dengan serta merta jika Malaysia diugut untuk tunduk kepada tekanan politik Amerika.

Katanya, kejayaan rundingan FTA seterusnya yang akan memasuki pusingan kelima dan terakhir itu terletak di tangan Amerika, sekiranya pemimpin negara kuasa ekonomi dunia itu berpendapat perjanjian itu akan menguntungkan kedua-dua negara.

Antara syarat awal rundingan FTA yang dipersetujui antara Malaysia dan Amerika ialah tiada agenda politik, perjanjian berkenaan berteraskan pasaran dan tiada campurtangan antara kedua-dua kerajaan dalam dasar domestik negara masing-masing.