Permohonan Syed Saddiq cabar saksi utama diketahui 25 Julai
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 25 Julai ini bagi membuat keputusan berhubung permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meneruskan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Ia berhubung permohonan memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan terhadap bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu (Armada), Rafiq Hakim Razali yang didakwa memberi keterangan bercanggah dalam kes penyelewengan membabitkan RM1.2 juta dana Pemuda Bersatu.
Pesuruhjaya kehakiman, Azhar Abdul Hamid berkata, perkara itu melibatkan pelbagai isu yang memerlukan masa untuk diteliti oleh mahkamah sebelum membuat keputusan.
Sekiranya kebenaran diberikan, mahkamah tinggi akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar merit permohonan bagi mencabar kebolehpercayaan terhadap Rafiq.
Isnin lalu, Mahkamah menolak permohonan pertama yang dibuat Syed Saddiq bagi mencabar kredibiliti saksi berkenaan.
Pasukan peguam berhujah bahawa terdapat percanggahan antara apa yang dikatakan Rafiq di mahkamah dengan yang diberitahu oleh saksi itu ketika siasatan SPRM.
Antara percanggahan yang didakwa adalah berhubung keterangan Rafiq mengenai arahan Syed Saddiq supaya dia mengeluarkan RM1 juta daripada akaun pemuda Bersatu.
Percanggahan lain yang didakwa adalah mengenai lokasi di mana Syed Saddiq dikatakan telah mengeluarkan arahan itu kepada saksi.
Satu lagi percanggahan yang dididakwa adalah sama ada dana yang dikeluarkan itu benar-benar dana pemuda Bersatu atau wang peribadi Syed Saddiq.
Pada 5 Julai lalu, Rafiq memberi keterangan bahawa Syed Saddiq mengarahkannya untuk mengeluarkan (clear-kan) sebahagian daripada RM1 juta dana Pemuda Bersatu, susulan siasatan SPRM terhadap laporan tertuduh berhubung dakwaan kehilangan RM250,000.
Bagaimanapun, sehari kemudian, ketika dalam pemeriksaan balas oleh pasukan peguam Syed Saddiq, saksi itu mengakui perkataan “clear-kan” bukanlah perkataan tepat yang digunakan tertuduh berhubung wang RM1 juta itu.
Pada Mac 2020, dilaporkan Syed Saddiq membuat laporan polis berhubung kehilangan wang RM250,000 dari rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.
Pemimpin Muda itu berdepan empat pertuduhan di mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Dia juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

