Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan sukan Nisa' Games 2007 temasya sukan untuk peserta wanita sahaja yang akan berlangsung di Kota Bharu pada 17 dan 18 Februari depan.

Sukan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat itu akan disertai oleh 27 kontinjen dengan seramai 1,200 peserta wanita dari seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berkata, Nisa' Games 2007 melibatkan atlit, pegawai serta penonton yang terdiri daripada wanita pelbagai kaum dan agama yang berusia 15 hingga 30 tahun.

" Nisa' Games bertujuan menghimpunkan wanita muda pelbagai kaum untuk bersukan bersama dan seterusnya memperkukuh hubungan antara budaya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdul Fattah berkata Nisa' Games bertujuan memberi tumpuan kepada aktiviti sukan yang selesa, sopan dan sesuai untuk wanita seperti boling, badminton, bola jaring, bola tampar dan futsal di empat venue tertutup sekitar Kota Bharu.

Pakaian bebas

"Peserta bebas menggunakan pakaian sukan yang sesuai sama ada bertudung atau tidak, seluar panjang atau pendek kerana sukan ini untuk wanita sahaja," katanya.

Nisa' Games dianjurkan dengan kerjasama Nisa' Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, yang berperanan menjaga kebajikan generasi muda daripada aspek kerjaya, pembangunan insan, dan khidmat kaunseling.

Program sukan ini akan dimeriahkan dengan kehadiran pemenang pingat emas acara pecut 200m Sukan Asia Doha 2006, Ruqaya Al-Ghasara dari Bahrain.

Majlis perasmian Nisa' Games 2007 akan dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.