Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru agar kerajaan menyenaraikan butiran perbelanjaan demi memastikan ketelusan dalam pengurusan dana banjir di wilayah selatan Malaysia.

Bendahari PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendirian bahawa tanggungan kos banjir kerajaan sebanyak RM1.5 bilion sepertimana yang diumumkan, adalah terlampau besar.

Malah, katanya, pecahan perbelanjaan yang diumumkan juga adalah terlalu kabur.

"Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan menyatakan secara lanjutnya segala perbelanjaan yang berhubungkait dengan bantuan kepada mangsa banjir dan projek pembangunan semula di kawasan banjir," katanya dalam kenyataan.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mengumumkan butiran perbelanjaan mengikut tiga kumpulan utama wang sumbangan setiap keluarga dan jumlah keluarga terbabit; peruntukan pembangunan semula jalanraya, jambatan, sekolah dan pelbagai kemudahan asas; serta perbelanjaan untuk makanan, minuman, perubatan dan pengangkutan.

Sumber negara

Katanya, oleh sebab kerja-kerja membantu mangsa banjir menggunakan sumber negara, maka rakyat berhak untuk mengetahui bagaimana kerajaan menggunakan sumber negara secara mantap dan berkesan dalam menolong mangsa banjir.

"Hanyalah dengan menyenaraikan segala butiran peruntukan dan perbelanjaan, kita dapat memastikan dana digunakan dengan maksima untuk membantu mangsa banjir," ujarnya.

"Kita juga dapat mengelak segelintir orang daripada mendapat projek pembangunan semula pada kos yang melambung tinggi, dan juga memastikan badan sukarelawan seperti Rela, tidak akan mengenakan bayaran yang tinggi ke atas mangsa banjir ketika menyalurkan bantuan makanan, minuman dan pengangkutan," tambahnya.

Menurut Khalid lagi, kerajaan seharusnya bekerjasama dengan badan sosial, parti politik dan syarikat swasta yang turut serta dalam memberi sumbangan kepada mangsa banjir bagi memastikan sumber-sumber bantuan yang disalurkan tidak berlebihan dan sia-sia.