Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masih ada peluang selamatkan Tasik Chini, kata MNS Pahang

Status Tasik Chini sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) masih boleh dipertahankan jika semua proses pemuliharaan berjalan seperti dirancang.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar, berkata penelitian awal dan laporan berkaitan risiko status tasik itu ditarik balik oleh Unesco adalah dibuat berdasarkan pemeriksaan pada 2021.

Untuk tahun ini, katanya, ada beberapa usaha penanaman semula telah dilakukan di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Pahang bagi memperbaiki kualiti kawasan terjejas akibat aktiviti perlombongan di sekitar tasik tersebut.

"MNS Pahang turut mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman semula di situ dan pemantauan secara berterusan dilakukan.

"Kadar survival bagi pokok yang ditanam semula juga adalah agak baik dan tinggi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Noor Jehan berpandangan, jika wakil Unesco boleh melakukan satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini, mungkin peluang masih ada untuk tasik yang terletak dekat Pekan itu dikekalkan statusnya sebagai tapak rizab biosfera.

"Saya juga ada membaca laporan (Unesco) itu, dan dia kata 'pihak berkuasa Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 Sept tahun ini'.

"Laporan itu perlu menyertakan pengezonan (kawasan) yang dikemas kini dengan 'mengekalkan tiga fungsi rizab biosfera'," katanya lagi.

Noor Jehan berkata MNS Pahang masih optimis Tasik Chini - yang berkeluasan 6,922.97 hektar - dapat mempertahankan pengiktirafan diterima pada 26 Mei 2009 itu.

"Kalau semua pihak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan status Unesco ini, saya percaya kita masih ada peluang," katanya.

Noor Jehan Abu Bakar (tengah)

Tasik Chini adalah tapak biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Unesco, diikuti Banjaran Crocker, Sabah pada 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada Sept tahun lalu.

Status rizab biosfera Unesco Tasik Chini mendapat perhatian selepas Malaysiakini pada Ahad lalu melaporkan status itu dalam penelitian ekoran penemuan awal yang tidak menggalakkan.

Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa Unesco MAB pada Sept tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sesuatu kawasan yang dianggap rizab biosfera di bawah program tersebut tertakluk kepada semakan berkala setiap 10 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS