Empat orang pemimpin pembangkang hadir di Bukit Aman pagi ini bersama peguam masing-masing berhubung siasatan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Keempat-empatnya Bendahari PKR Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Biro NGO DAP, Ronnie Liu dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli diarah hadir di Bukit Aman hari ini berhubung pendedahan kandungan perjanjian konsesi tol.

Mereka akan disiasat di bawah OSA kerana mendedahkan kandungan perjanjian tersebut. Para peguam Hanipah Maidin, A Sivanesan, Shamsul Iskandar dan Kamarul Hisham Kamaruddin turut hadir untuk memberi nasihat kepada mereka.

Kira-kira 40 penyokong turut berhimpun di luar Bukit Aman. Keempat mereka selesai memberi keterangan pada jam 1.45 tengahari. Antara mereka yang hadir ialah bekas Ketua Pemuda PKR, Mohd Ezam Mohd Nor, yang pernah menjalani hukuman penjara dua tahun atas tuduhan melanggarkan OSA berhubung hasil siasatan terhadap dua tokoh politik.

Dia bagaimanapun dibebaskan selepas mahkamah membatalkan sabitan terhadapnya atas alasan teknikal.

Keempatnya keluar dari bangunan Bukit Aman kira-kira jam 1.45 tengahari, dengan disambut oleh para penyokong mereka.

Bercakap kepada pemberita, Chua tidak mahu menyentuh tentang soalsiasat tersebut selain daripada berkata, mereka berempat memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis, yang bertanyakan"soalan-soalan yang rutin".

Beliau juga mengesahkan tiada dokumen yang telah diserahkan walaupun pihak polis memintanya.

"Tiada bahan yang diberikan. Kami hanya masuk ke sana dan mereka (polis) tanya soalan," kata Chua, sambil menambah mereka tidak dimaklumkan sama ada akan disoal sekali lagi.

Rumah Chua digeledah

Beliau menjelaskan, pembangkang tetap menentang penggunaan OSA untuk "menutup isu-isu yang berkepentingan awam".

Kira-kira setengah jam kemudiannya, pihak polis mengeledah pejabat dan rumah Chua.

Pegawai penyiasat ASP A Rajakopal dan ASP Abdullah Sohaimi Daud tiba di pejabat akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan kira-kira jam 3 petang. Difahamkan bahawa mereka telah dimaklumkan bahawa satu salinan perjanjian konsesi tol telah dihantar ke pejabat tersebut.

Bagaimanapun, mereka tidak menemui apa-apa selepas mengeledah selama 20 minit.

Pihak polis kemudian mengeledah rumah Chua di Sentul selama 15 minit tetapi juga tidak menemui apa-apa di sana.

'Pengetahuan khusus'

Peguam Kamarul Hisham menyuarakan keyakinannya bahawa keempat mereka mempunyai pembelaan yang baik.

Menurutnya, mereka yang dituduh melanggar OSA mesti mempunyai pengetahuan khusus bahawa dokumen terbabit telahpun diklasifikasikan sebagai 'rahsia'.

"Jika anda tidak mempunyai pengetahuan bahawa bahan-bahan itu diklasifikasikan sebagai OSA, maka tidak berlaku sebarang kesalahan," katanya kepada malaysiakini .

Katanya, pihak berkuasa juga mesti membuktikan bahawa dokumen-dokumen tersebut telah diklasifikasikan di bawah OSA.

"Umum cuma mengetahui bahawa (perjanjian konsesi tol itu) diklasifikasikan di bawah OSA apabila pengumuman mengenainya dibuat (oleh Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Samy Vellu)," kata Kamarul.

Pada 4 Januari lalu, mereka menunjukkan kepada wartawan salinan dokumen berhubung perjanjian konsesi tol bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang dikendalikan oleh Litrak.

Menurut mereka, dokumen rahsia setebal 200 muka surat itu menunjukkan kerajaan telah menjamin keuntungan kepada syarikat konsesi.

Jika mereka gagal hadir hari ini, ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11 akta tersebut.

Menurut polis, mereka akan menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 8 akta berkenaan berdasarkan kepada satu laporan polis yang telah dibuat di Damansara.

Mereka yang didapati bersalah di bawah akta tersebut menghadapi hukuman setahun penjara mandotari.

Pelbagai pihak membantah tindakan pihak polis menyiasat mereka mengikut OSA.