Langkah pertama dalam perjuangan mencari keamanan ialah memastikan rakyat menyedari kebenaran sebenarnya mengenai peperangan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk itu, beliau menggesa badan dan pertubuhan rangkaian aktivis antarabangsa untuk menangkis "pembohongan dan propaganda" perbadanan media besar "yang dimiliki dan dikuasai oleh penghasut peperangan".

"Kita tahu media ini dimiliki dan dikuasai oleh penghasut peperangan. Majoriti mereka akan menyokong peperangan, akan mencari alasan untuk berperang, akan berbohong untuk menggalakkan peperangan," kata Dr Mahathir dalam ucaptamanya di persidangan jenayah perang di Kuala Lumpur hari ini.

"Mereka tidak memperdulikan persidangan ini atau akan berbohong tentang apa yang kita buat. Kita mesti mempunyai kontaks dan komunikasi kita sendiri atau rangkaian untuk menangkis propaganda dan pembohongan mereka," katanya kepada kira-kira 3,000 hadirin yang memenuhi dewan persidangan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kira-kira 1,000 orang lagi mengikuti ucapan bekas Perdana Menteri itu melalui monitor televisyen di luar dewan.

Mangsa perang

Dr Mahathir adalah juga pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang menganjurkan persidangan tiga hari itu.

Persidangan mengenai kekejaman akibat peperangan itu dihadiri oleh ramai pakar dan penyelidik antarabangsa, pegawai kerajaan, wartawan serta para peguam.

Manakala mangsa perang dan kekejamaan tentera penceroboh turut hadir untuk menceritakan pengalaman pahit mereka kepada para hadirin, termasuk Ali Shalah 'lelaki di sebalik tudung' yang menjadi mangsa seksaan di Penjara Abu Ghraib dan Abbas Abid, yang terselamat dalam Pembunuhan Fallujah pada 2003.

Anggota Suruhanjaya Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula akan tiba pada hari terakhir persidangan untuk mendengar aduan dan petisyen mangsa-mangsa jenayah perang serta berbincang mengenai penubuhan Tribunal Jenayah Perang yang dicadangkan oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir, yang dicalonkan untuk Hadiah Keamanan Nobel 2007 oleh empat kumpulan dari Bosnia kerana memperjuangkan hak dan nasib penduduk negara membangun, berharap tribunal itu akan mendengar dakwaan terhadap pemimpin 'yang menghasut peperangan' dan kerajaan-kerajaan yang bersalah melakukan jenayah peperangan.

Tegasnya, selagi peperangan tidak menjadi satu jenayah, maka tidak akan wujudkan tamadun yang sebenar-benarnya.

'Pembunuh kanak-kanak'

Aktivis dan penulis mengenai ketenteraan global, Prof Michel Chossudovsky dari University Ottowa turut bersetuju bahawa perbadanan media antarabangsa mesti ditangkis.

"Pihak media ini bertanggungjawab menutup jenayah perang," kata Chossudovsky dalam ucapannya.

Bagaimanapun, tambah beliau, pendakwaan dan hukuman terhadap individu dan pemimpin kerajaan hanya merupakan langkah jangka pendek dalam menangani dan menghalang jenayah perang.

Chossudovsky berkata, proses dan dinamik kepentingan sejarah dan ekonomi di sebalik perang global perlu ditangani secara serius bagi menangani dan menghalang jenayah perang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pengarah Eksekutif Yayasan Kepimpinan Perdana, Datuk Mukhriz Mahathir, melabelkan Presiden Amerika Syarikat George W Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair sebagai penjenayah perang.

Dr Mahathir kemudiannya berkata, sejarah akan mengingati Bush dan Blair sebagai 'pembunuh kanak-kanak atau presiden dan perdana menteri pembohong'. Berita asal