'RUU antilompat parti satu transformasi politik penting'
Lulusnya Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti di Dewan Rakyat hari ini, menjadi satu transformasi politik yang penting dan signifikan kepada Malaysia.
Timbalan Presiden Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup berkata Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang diluluskan dengan sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen itu, membuktikan komitmen serta kebolehan melaksanakan transformasi politik di bawah pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya percaya kejayaan ini akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya dan secara tidak langsung menjadi sebab utama untuk Keluarga Malaysia keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dan menzahirkan terima kasih dan tahniah kepada Perdana Menteri.
Katanya rang undang-undang itu akan melindungi kepentingan dan kepercayaan rakyat, yang memberi undi dan mandat mereka terhadap ahli politik yang dipilih melalui proses pilihan raya.
Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula berkata Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan, telah membuahkan hasil untuk rakyat Malaysia melalui pindaan itu.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook pula menerusi hantaran di Facebook beliau menyifatkan ia sebagai hari yang bersejarah, apabila rang undang-undang itu mendapat sokongan 209 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, semalam.
Katanya pindaan itu akan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi.
Turut senada, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan hari ini sebagai hari bersejarah, dan hari terbaik bagi demokrasi negara susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.
“Hala tuju negara di tangan mereka yang diberikan amanah oleh rakyat. Hari ini di Parlimen, kami mencipta sejarah dengan pindaan perlembagaan bagi melaksanakan Undang-undang Lompat Parti,” katanya menerusi laman Instagram beliau.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican yakin rang undang-undang yang diluluskan itu, menjanjikan masa depan politik Malaysia yang lebih stabil, makmur dan berwibawa untuk dihargai oleh rakyat.
“Secara peribadi saya menganggap kejayaan ini satu langkah politik yang amat progresif antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen. Saya amat gembira kerana menjadi sebahagian daripada sejarah kematangan politik pada petang ini (semalam),” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah “lompat parti” dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan.
- Bernama

