'Seragamkan perundangan antilompat parti peringkat negeri sebelum PRU'
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menunggu sehingga semua negeri meminda perlembagaan negeri masing-masing berhubung rang undang-undang anti lompat parti sebelum mencetuskan pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Kata Lim, ini bagi memastikan keseragaman, konsistensi dan kepastian.
“Seharusnya tidak ada set undang-undang yang berbeza antara negeri dan Perlembagaan Persekutuan untuk membersihkan kerangka politik negara daripada oportunis yang tidak jujur yang sanggup menjual prinsip mereka dan mengkhianati mandat rakyat dalam mengejar kekayaan dan jawatan politik,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu menambah, ketiga-tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda perlembagaan negeri masing-masing untuk memasukkan undang-undang antilompat parti.
Dia seterusnya menggesa perdana menteri mengarahkan kerajaan negeri di bawah BN dan PN untuk turut meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi menggubal undang-undang antilompat parti.
“Atas sebab ini, adalah menjadi tanggungjawab Ismail untuk melaksanakan undang-undang antilompat parti secara nasional dengan menangguhkan PRU sehingga perundangan bersejarah ini meresap ke dalam setiap badan perundangan dan menyemai semangat reformis baharu kepada wakil rakyat akan datang,” katanya.
Semalam, rang undang-undang pindaan perlembagaan yang bertujuan menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti diluluskan di Dewan Rakyat.
Ia akan dibentangkan untuk bacaan pertamanya di Dewan Negara pada 9 Ogos ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

