KWSP umum bayaran dividen lebih tinggi
Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.15 peratus bagi tahun 2006 berbanding 5 peratus bagi tahun sebelumnya ekoran peningkatan pendapatan daripada hampir kesemua pelaburannya.
Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.15 peratus bagi tahun 2006 berbanding 5 peratus bagi tahun sebelumnya ekoran peningkatan pendapatan daripada hampir kesemua pelaburannya.
Pendapatan daripada pelaburan kasar KWSP bagi tahun lalu meningkat kepada RM13.30 bilion naik 1.45 peratus daripada RM13.11 bilion pada 2005.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata KWSP menunjukkan prestasi yang baik walaupun berdepan dengan cabaran berterusan dan perubahan dalam persekitaran ekonomi global.
Untuk 2006, KWSP memerlukan RM2.61 bilion untuk pembayaran sebanyak satu peratus dividen, dibandingkan dengan RM2.37 bilion pada 2005, demikian menurut laporan Bernama.
"Jumlah yang diperlukan untuk membayar dividen satu peratus akan terus meningkat apabila saiz dana meningkat. Oleh yang demikian, KWSP akan menjana pendapatan lebih tinggi setiap tahun," kata Samsudin.
Pinjaman dan bon
Sehingga 31 Disember 2006, jumlah keseluruhan dana pelaburan bertambah sebanyak RM25.57 bilion kepada RM285.45 bilion dibandingkan dengan RM259.89 bilion pada 2005.
Tahun lalu, pelaburan oleh KWSP dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah 34.56 peratus, pinjaman dan bon (35.28 peratus), ekuiti (191.7 peratus), instrumen pasaran wang (10.39 peratus) dan hartanah (0.60 peratus).
Setiap kelas aset mencatatkan satu peningkatan dalam jumlah keseluruhan pelaburan walaupun peratusan peruntukan adalah rendah bagi beberapa kelas aset, seperti MGS, dan pinjaman dan bon.
Pelaburan dalam MGS serta pinjaman dan bon mencatatkan peningkatan kecil, masing-masing, sebanyak RM900 juta kepada RM98.67 bilion dan sebanyak RM6.36 bilion kepada RM100.7 bilion.
Peruntukan keatas aset menunjukkan hampir 80 peratus daripada dana dilaburkan kedalam instrumen berpendapatan rendah yang berisiko rendah, selaras dengan pendekatan berhemah oleh KWSP dalam pelaburan, kata Samsudin.
Dividen untuk 2006 akan dikreditkan kedalam akaun-akaun milik ahli menjelang akhir bulan ini.

