Jawatankuasa Perlindungan Kepentingan Pemegang Saham Minoriti Maika mengumumkan anggotanya menerima sebulat suara keputusan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu November lalu untuk membayar balik kepada pemegang saham RM1.30 bagi setiap unit saham yang mereka pegang.

Pengerusinya, S Jambulingam berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan Sabtu lalu yang membabitkan 200 pemegang saham Maika.

Mesyuarat itu, katanya, membincangkan ikrar yang dibuat oleh Samy Vellu, yang berjanji untuk membuat pembayaran balik itu dalam masa 90 hari, demikian menurut laporan Bernama.

"Anggota yang hadir menyuarakan kebimbangan mereka berhubung pengurusan syarikat (Maika) yang membawa kepada lebih RM120 juta kerugian terkumpul.

"Penjualan besar-besaran pegangan pertanian yang dikenali sebagai "Tumbok Estate" dan beberapa hartanah Maika pada harga yang menimbulkan persoalan, juga menjadi perkara yang membangkitkan kebimbangan dan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jual saham OCAB

Katanya, jika Maika memutuskan untuk melupuskan saham majoriti dalam Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB) bagi membuat pembayaran kepada pemegang saham Maika sedia ada, maka saham OCAB itu sepatutnya dijual kepada pertubuhan India yang lain.

"Perkara ini dipersetujui oleh majoriti pemegang saham yang menghadiri mesyuarat itu. Mereka beranggapan, dengan berbuat demikian, majoriti pemilikan OCAB akan terus kekal dengan masyarakat India, sejajar dengan dasar kerajaan untuk mempertingkatkan pemilikan ekuiti masyarakat India Malaysia kepada tiga peratus," katanya.

Beliau juga berkata, pemegang saham mahu National Land Finance Co-operative Society (NLFCS) mengetuai satu konsortium pertubuhan dan individu India untuk membeli saham majoriti OCAB yang dipegang oleh Maika jika ia dijual.

"Majoriti pemegang saham yang menghadiri mesyuarat itu juga mahukan mandat diberikan kepada Jawatankuasa Pemegang Saham Minoriti Maika bagi melindungi kepentingan dan hak mereka kepada pemegang saham minoriti dalam Maika," katanya.