Umno Ktan cadang tiga kawasan Parlimen baru
Umno Kelantan sedang membuat kajian untuk meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat persempadanan semula bagi membolehkan tiga kawasan Parlimen baru diwujudkan dalam pilihanraya umum akan datang.
Umno Kelantan sedang membuat kajian untuk meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat persempadanan semula bagi membolehkan tiga kawasan Parlimen baru diwujudkan dalam pilihanraya umum akan datang.
Menurut sumber-sumber Umno, pihaknya akan mencadangkan supaya tiga kawasan Parlimen Pasir Puteh, Bachok dan Gua Musang dipecahkan bagi mewujudkan tiga kawasan Parlimen baru itu.
Menurutnya, tiga kawasan Parlimen baru yang dicadangkan itu ialah Selising (Pasir Puteh), Gunong (Bachok) dan Dabong (Gua Musang).
"Ketiga-tiga kawasan itu telah memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mewujudkan kawasan Parlimen baru, selain Kelantan tidak mendapat kerusi Parlimen baru dalam dua pilihanraya umum lalu," katanya.
Kawasan Parlimen Pasir Puteh diwakili oleh Datuk Che Min Che Ahmad, Datuk Awang Adek Hussein (Bachok) manakala Gua Musang diwakili Tengku Razaleigh Hamzah kesemuanya dari Umno.
Ketika ini Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen dengan majoriti pengundi Melayu. Daripada jumlah itu, Barisan Nasional (BN) mewakili lapan kerusi Parlimen dan PAS (6).
Persempadanan semula
Kelantan tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen dalam persempadanan semula yang dibuat oleh SPR sebelum pilihanraya umum lalu.
Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) juga tidak ditambah dalam proses persempadanan semula tersebut. Ia kekal sebanyak 45 kerusi negeri dan daripada jumlah tersebut 23 diwakili PAS dan 22 lagi BN.
Bagaimanapun sumber itu berkata, Umno tidak bercadang meminta tambahan kerusi DUN kerana jumlah yang ada sekarang sudah mencukupi.
SPR menjalankan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya dalam tempoh tidak kurang daripada lapan tahun selepas yang terdahulunya. Persempadanan terakhir dilakukan sebelum pilihanraya umum 2004.
Menurut sumber itu lagi, Umno Kelantan memerlukan persempadanan semula kawasan Parlimen demi kepentingan rakyat memandangkan jumlah pengundi di kawasan yang dicadangkan itu, jauh lebih ramai berbanding dengan sesetengah kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Datuk Kamaruddin Mohd Noor ketika dihubungi berkata, beliau difahamkan, cadangan tersebut akan dikemukakan SPR oleh Umno negeri.
Kepadatan penduduk
Katanya, cadangan tersebut juga mungkin selaras dengan kepadatan penduduk di kawasan Parlimen Pasir Puteh yang sudah menjangkau 200,000 orang.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Bachok, Datuk Dr Illias Hussein berkata, beliau menyokong jika kawasan Parlimen Gunong diwujudkan kerana Parlimen Bachok yang sedia ada terlalu besar
Katanya, dalam pilihanraya umum 2004, sudah terdapat kira-kira 68,000 pengundi dalam Parlimen Bachok.
Bagaimanapun, beliau percaya, jumlah tersebut sudah bertambah berikutan pendaftaran pemilih baru sejak dua tahun lalu.
Sebagai contoh, katanya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat sahaja mempunyai 20 peti undi sedangkan kawasan lain antara 10 dan 12 sahaja.
"SPR boleh memasukkan sebahagian kawasan Jelawat dan Melor ke dalam Parlimen Gunong yang dicadangkan itu," katanya.

