Korban banjir besar yang melanda Jakarta sejak enam hari lalu mencecah 36 orang sehingga hari ini.

Manakala ratusan ribu yang lain dipindahkan kerana rumah mereka masih ditenggelami air yang di sesetengah kawasan bertahan di paras melebihi tiga meter, demikian menurut Bernama.

Jurucakap polis daerah Metro Jaya berkata, mereka terkorban sama ada ditenggelami banjir apabila tidak sempat menyelamatkan diri, terseret arus banjir yang deras, terkena kejutan elektrik dan kedinginan.

Dalam kejadian banjir besar pada tahun 2002, seramai 17 orang dilaporkan mati.

Sehubungan itu, polis daerah Metro Jaya telah mengerahkan 12,660 anggotanya untuk mengawal keselamatan penduduk, lalulintas dan keselamatan harta benda mereka.

Agensi berita Antara melaporkan Amerika Syarikat dan Australia sudah menawarkan bantuan kecemasan berupa bekalan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan harian.

Pertubuhan Bangsa Bersatu pula dilaporkan sudah menyatakan akan membantu Indonesia dalam usaha pemulihan keadaan selepas banjir ini.

Pelajar Malaysia

Sebelum ini, Bernama melaporkan Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Jakarta sudah siap sedia menampung semua 328 pelajar Malaysia di ibu negara Indonesia ini jika keadaan banjir bertambah teruk.

Sehingga semalam, selain 69 pelajar perubatan Malaysia di Universiti Trisakti di Jakarta Barat, beberapa keluarga rakyat Malaysia turut berpindah akibat banjir besar yang melanda Jakarta sejak malam Jumaat.

Mereka ditempatkan di Wisma Malaysia di Jalan H.O.S Cokroaminoto di Jakarta Pusat selepas rumah sewa mereka di Jalan Tawakal Grogol, Jakarta Barat dinaiki air dan kini terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Pengarah MSD Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar dilaporkan berkata semua persiapan tempat tinggal dan makan minum telah dibuat untuk memastikan kebajikan para pelajar di Trisakti mahupun di Universiti Indonesia, Universiti Ukrida dan Universiti Islam Negeri Jakarta sentiasa terjaga.

Katanya, 10 pelajar lagi ditempatkan di kediaman beliau sendiri di samping beberapa staf kedutaan di Kuningan.

"Bukan saja di Wisma Malaysia, malah di semua rumah para pegawai kedutaan dan rakyat Malaysia di Jakarta sedia menerima para pelajar itu, sehinggakan ibu bapa di Malaysia tidak perlu bimbang," katanya.