Jengkel dengan sikap polis sewaktu memantau ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat hujung minggu lalu, Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pasukan polis lebih berminat menjadi alat kerajaan daripada mencegah jenayah.

Sabtu lalu, ceramah anjuran PKR bahagian Petaling Jaya Selatan di Taman Medan terganggu oleh tindakan polis yang mengadakan sekatan di laluan yang menuju ke lokasi ceramah tersebut.

"Saya dijadualkan berucap di sebuah ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Petaling Jaya Selatan bersama pimpinan-pimpinan Keadilan lain di Taman Medan.

"Penganjur telah memohon permit polis untuk acara tersebut. Walaubagaimanapun permohonan ini ditolak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pada hari ceramah berkenaan, polis dan Polis Simpanan Persekutuan telah mengadakan sekatan di laluan-laluan menghala ke tempat ceramah, manakala ratusan anggota polis dan pegawai Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) pula mengepung kawasan tersebut.

"Namun demikian lebih 3,000 orang awam tidak mengendahkan tekanan polis dan menghadiri ceramah tersebut. Apabila saya tiba di tapak ceramah, pihak polis tidak mahu membiarkan sesiapapun berucap. Selepas mendesak polis, mereka akhirnya akur dan saya bercakap selama 20 minit kepada orang ramai," tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihak polis sering bersungut kekurangan tenaga untuk melakukan tugas mereka dengan sempurna, tetapi dalam hal ini, tegasnya, ia menjadi lebih serius apabila tenaga dan masa mereka digunakan untuk menghalang aktiviti parti politik yang berdaftar.

"Pihak polis sepatutnya menumpukan masa dan tenaga mereka terhadap tanggungjawab utama mencegah jenayah dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang biasa," katanya.

Anwar menyebut kejadian rompakan bersenjata di Subang Parade malam Sabtu lalu di mana dua pengawal terbunuh, sebagai contoh bahawa kadar jenayah semakin meningkat.

"Sedang polis lebih berminat menjadi alat kerajaan untuk menekan pembangkang, kadar jenayah Malaysia telah meningkat berganda-ganda," tambahnya.

Alat kerajaan

Anwar turut mengutuk penangkapan mereka yang menyertai bantahan kenaikan kadar tol dan berkata pihak polis sepatutnya memerangi jenayah dan melindungi orang awam, dan bukannya menekan rakyat.

Ahad lalu, polis menahan 15 orang, termasuk Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sewaktu mereka menyertai bantahan di Kompleks Membeli-belah IOI di Puchong.

Sehingga ini, empat bantahan kenaikan kadar tol telah diadakan pertama di Sunway Piramid pada 27 Januari dan keduanya di plaza toll Lebuhraya KL-Karak pada 14 Januari.

Polis mula membuat tangkapan ketika bantahan kali ketiga diadakan di Lebuhraya Cheras-Kajang dua minggu lalu.

"Amat malang sekali apabila polis terus menggunakan ketakutan dan tekanan sehingga mereka hanya menjadi alat kerajaan.

"Tun Dr Mahathir (Mohamad) mungkin memulakan Negara Polis, tetapi Perdana Menteri langsung tidak menamatkan institusi dan undang-undang zalim serta menggunakannya untuk menutup kelemahannya, di sebalik janjinya untuk mewujudkan keterbukaan, akauntabiliti dan ketelusan," tambah Anwar.