'Satu badan penuh wayar dah anak mama ni'
Adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang pernah menghidap ketumbuhan dalam mulut iaitu ‘Germ Cell Tumor’ hari ini dilaporkan dalam keadaan agak kritikal.
Perkara itu dimaklumkan ibu kanak-kanak berkenaan, Nurul Erwani Zaidi menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya serta menyatakan anaknya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) di sebuah hospital yang tidak dinyatakan.
“Satu badan penuh dengan wayar dah anak mama ni. Mama tak minta banyak. Mohon doakan anak kesayangan mama, Ainul Mardhiah jadi lagi kuat untuk lawan penyakit ini,” tulis Nurul Erwani pada laman media sosial tersebut.
Jelas Nurul Erwani, pada mulanya Ainul Mardhiah mengalami muntah serta cirit birit dan disebabkan keadaannya semakin lemah, kanak-kanak itu dibawa ke bahagian kecemasan sebuah hospital.
“Doktor buat prosedur dan beritahu rupanya Ainul sudah terlalu penat sebab jangkitan (infection) ada dekat semua tempat. Kali ini punya serangan virus jahat sangat. Ainul kena kuat ya sayang mama.
“Ainul kena tunjuk dekat doktor yang Ainul tak ada apa-apa. Terima kasih semua, doa untuk Ainul Mardhiah,” luah Nurul Erwani lagi.
Rata-rata pengguna Instagram meninggalkan komen mendoakan Ainul Mardhiah segera sembuh seperti sedia kala.
Turut mendoakan kesihatan Ainul Mardhiah adalah pakar bedah Malaysia di The Imperial College Healthcare NHS di London, Dr Nur Amalina Che Bakri.
“Ya Allah Ya Tuhanku, marilah kita sama-sama doakan untuk adik Ainul. Keep fighting Ainul! You did it before, you can do it again! Ya Allah,” tulis Dr Nur Amalina pada ruangan komen akaun Instagram Nurul Erwani.
Pada 2019, Dr Nur Amalina adalah individu yang bertanggungjawab membawa Ainul Mardiah serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan ketumbuhan dalam mulut.
Setakat 4.30 petang, hantaran Nurul Erwani di Instagram mengenai keadaan kesihatan anaknya itu menerima lebih 4,500 komen warga siber.
- Bernama

