Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas seorang pelajar universiti mendapatkan tambahan masa bagi mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Keputusan itu membolehkan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Soh Sook Hwa meneruskan permohonannya untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beberapa peruntukan dalam Auku tidak mengikut perlembagaan.

Permohonan Soh untuk mendapatkan tambahan masa itu dibenarkan oleh Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim hari ini.

Wan Afrah akan menemui peguam kedua belah pihak pada 16 Mei untuk menetapkan tarikh kes itu disebut.

Soh, 24, mencabar Auku pada 2005 selepas dikenakan tindakan oleh USM kerana didakwa terbabit dalam pilihanraya umumn 2004 dan berkempen untuk calon pembangkang.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi bagi responden tunggal menteri pelajaran tinggi menyebut dua alasan prosedur untuk membatalkan permohonan Soh.

Kementerian mahu permohonan utama Soh untuk mendapatkan semakan perundangan, ditolak atas alasan teknikal, iaitu ia difailkannya selepas tempoh masa 40 hari selepas menerima surat kementerian menolak rayuannya terhadap tindakan yang dikenakan oleh USM.

Walaupun tempoh masa itu diperuntukkan dalam Auku, tetapi Soh berhujah, beliau hanya mengetahui mengenai keputusan kementerian itu lama kemudiannya kerana beliau berada di luar negeri dan surat tersebut tidak dihantar ke alamat kediamannya.

Soh kemudiannya memfailkan permohonan untuk mendapatkan tambahan masa 40 hari atas alasan tindakannya terhadap kementerian itu adalah untuk kepntingan awam.

Permohonan itu dibenarkan oleh mahkamah hari ini, selepas beberapa kali tertangguh.

Perhimpunan aman

Soh, yang kini bekerja di Pulau Pinang sebagai eksekutif pemasaran, hadir di mahkamah hari ini bersama 50 aktivis pelajar.

Sebelum kes itu didengar, mereka mengadakan perhimpunan aman di depan bangunan mahkamah, dengan membawa poster dan kain rentang sambil meluang "kuasa pelajar", "hidup pelajar" dan ""mansuhkan Auku".

Beberapa pemimpin pelajar turut menyampaikan ucapan ringkas, manakala seorang lagi membaca sajak.

Perhimpunan selama 50 minit itu dipantau oleh beberapa anggota polis dan pegawai cawangan khas.

Ini merupakan kes pertama mencabar kesahihan Auku yang antaranya melarang ahli akademik dan pelajar terbabit dalam politik tanpa kebenaran pihak berkuasa universiti terlebih dahulu.

Soh memohon semakan terhadap keputusan kementerian menolak rayuannya berhubung tindakan yang dikenakan oleh lembaga disiplin USM.

Soh juga memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 15 Auku yang melarang pelajar meyertai persatuan atau parti politik dan beberapa peruntukan lain dalam peraturan, USM sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Pada bulan Disember 2004, USM mendapati Soh bersalah melanggar Seksyen 15 Auku berdasarkan kepada sekeping gambar yang menunjukkan dia memakai baju-T yang memaparkan logo parti pembangkang yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan.

Pihak universiti kemudiannya menuduh Soh berkempen untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua di kawasan Parlimen Batu di Kuala Lumpur. Soh didapati bersalah, didenda RM200 dan diberi amaran keras.

Ketika itu, bekas perwakilan pelajar tersebut, dalam tahun akhir pengajian bidang kewartawanan. Soh juga merupakan bekas presiden Persatuan Bahasa Cina USM. Berita asal