Permohonan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Chin Peng untuk dibenarkan masuk sementara ke negara ini bagi menghadiri perbicaraan kesnya akan didengar 5 Mac ini.

Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Kuala Lumpur hari ini. Kesnya akan didengar di mahkamah yang sama.

Pada 4 Mac 2005, Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, 84, memfailkan saman pemula bagi pihak dirinya sebagai plaintif pertama dan bekas anggota PKM lain sebagai plaintif-plaintif, memohon suatu perintah perisytiharan bahawa mereka berhak memasuki, bermastautin, berkediaman dan tinggal di negara ini.

Menurut laporan Bernama, Chin Peng, yang kini berada di Thailand, menamakan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Chin Peng yang diwakili peguam Darshan Singh Khaira, turut memohon suatu perintah supaya dokumen keizinan dikeluarkan kepadanya dan bekas anggota PKM untuk memasuki Malaysia.

Kewarganegaraan

Hakim Datuk K P Gengadharan turut menetapkan tarikh yang sama (5 Mac) bagi mendengar permohonan defendan untuk memeriksa dokumen yang membuktikan kewarganegaraan Chin Peng.

Chin Peng yang dilahirkan pada 20 Oktober 1923 di Sitiawan, Perak, tidak pernah dilucutkan kewarganegaraan atau dibuang negeri.

Pada 12 Mac 2005, Chin Peng memfailkan permohonan meminta pihak defendan menyenaraikan sepenuhnya siapakah di kalangan bekas anggota PKM yang layak masuk, siapakah yang dibenarkan masuk dan siapakah yang tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Kesemua plaintif bekas anggota PKM itu dikatakan turut berada di Thailand.