Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Amanah juga sokong larangan Oktoberfest
Diterbitkan:  Aug 3, 2022 1:28 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil bersetuju dengan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, yang berkata sambutan Oktoberfest tidak patut dibenarkan.

Katanya, meskipun orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak pada bila-bila masa, cuma untuk satu pesta diadakan adalah sesuatu yang tidak sesuai dan tidak wajar dibenarkan dalam negara ini.

"Orang bukan Islam boleh minum arak, tetapi bukan dalam aktiviti seperti mana satu festival di negara barat.

“Saya tidak rasa budaya festival minum arak ini adalah budaya asal mana-mana bangsa dalam negara ini.

Gambar Hiasan - Oktoberfest

"Pada pandangan saya, orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak pada bila-bila masa, cuma untuk satu festival diadakan adalah sesuatu perkara yang tidak sesuai unbecoming dibenarkan dalam negara ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemimpin Amanah itu juga mengingatkan bahawa meminum arak di negara ini bukan satu hak yang mutlak, tetapi dikawal oleh undang-undang.

Oleh itu, katanya, mengekalkan keharmonian negara adalah agenda yang penting.

“Keharmonian ini boleh dipertahankan dengan masing-masing mengekalkan budaya tradisional setiap kaum.

“Maka, budaya asing terutama dari barat seperti Oktoberfest tidak perlu diamalkan dalam negara ini,” katanya, sambil menambah bahawa festival itu bermula dari Bavaria, Jerman dan bukannya budaya mana-mana masyarakat dinegara ini.

Gambar Hiasan - Oktoberfest

Untuk rekod, pada 28 Julai lalu ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Idris berkata bahawa perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

Kata naib presiden PAS itu, kerajaan berpendirian perbuatan meminum arak akan menimbulkan masalah sosial memandangkan ia mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

Namun, kenyataan menteri menerima kritikan daripada pemimpin-pemimpin bukan Islam.

Sementara itu, Faiz juga ahli Majlis Tertinggi Amanah berkata Idris perlu mengeluarkan satu garis panduan atau tatacara berkenaan minum arak.

Ini, katanya, supaya tiada aktiviti seumpama penganjuran Oktoberfest yang dikhuathiri boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di negara ini kerana majoriti besar umat Islam yang membantah.

Gambar Hiasan - Oktoberfest

"Minum arak adalah dibenarkan kepada orang bukan Islam. Bagi orang Islam pula, ia diharamkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah yang digubal di setiap negeri.

“Namun begitu, bagi mengawal selia kehidupan rakyat supaya terhindar dari kecelakaan, undang-undang sivil seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 (seksyen 41-45) mengharamkan memandu ketika mabuk.

"Undang-undang ini juga diterima baik oleh semua rakyat. Sensitiviti umat Islam harus dijaga sepertimana sensitiviti orang bukan Islam dihormati," katanya.

Lihat Komen
ADS