Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan yang memihak kepada undang-undang antilompat parti di Pulau Pinang.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara berhubung persoalan mengenai kesahihan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Pada 28 Julai, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang antilompat parti di peringkat persekutuan tanpa mendapat bantahan daripada 209 ahli parlimen yang hadir, dengan 11 lagi ahli parlimen tidak hadir.

Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan berhubung cabaran undang-undang oleh empat Adun mengenai keabsahan Perkara 14A, yang menyatakan bahawa seseorang Adun- yang pada mulanya memenangi pilihan raya sebagai calon parti politik - mesti mengosongkan kerusi itu jika dia dipecat atau keluar parti.

Empat usul pemula dikemukakan oleh Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Ketika membacakan keputusan sebulat suara petang ini, Maimun berkata Perkara 14A perlembagaan negeri adalah tidak terbatal dan tidak konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10(1)(c) memperkatakan mengenai hak asasi untuk menubuhkan persatuan, seperti penubuhan parti politik.

Maimun memutuskan bahawa hak untuk menyertai atau meninggalkan parti politik adalah berbeza daripada peraturan yang mengikat seseorang Adun apabila mereka dipilih.

Dia berkata badan perundangan negeri mempunyai hak untuk menggubal undang-undangnya sendiri yang mengawal kelakuan seseorang Adun yang dipilih sekiranya mereka menukar parti politik.

[Baca berita penuh]