Dikenali sebagai 'lelaki bertutup kepala' dari penjara Abu Ghraib, Ali Shalal membuat para hadirin terpaku mendengar pengalaman ngerinya ketika diseksa dengan kejam sewaktu dalam tahanan tentera Amerika di Iraq.

Ali, 45, membaca kisahnya itu dalam bahasa Arab dan skrin besar di dewan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyiarkan terjemahannya dalam bahasa Inggeris.

Dewan penuh sesak dengan kira-kira 2,000 orang yang menghadiri sesi persidangan jenayah perang di Kuala Lumpur hari ini, untuk mendengar kisah penderitaan Ali itu.

Seorang pensyarah pendidikan Islam, Ali memulakan kisah penderitaannya itu dengan menceritakan detik-detika dia penangkapannya: "Pada 13 Oktober 2003, aya sedang bersembahyang di Masjid Al-Amraya, apabila ditangkap oleh tentera Amerika.

"Mereka mengikat tangan saya ke belakang dan menutup kepala saya dengan sebuah beg. Mereka membawa saya ke sebuah penjara kecil dalam kem tentera Amerika di Al-Amraya." katanya.

Dia kemudiannya terpaksa melalui pemeriksaan fizikal di mana dia dipaksa duduk di atas lantai tandas yang penuh dengan air dan najis manusia. Dia kemudiannya disoalsiasat.

"Jurusiasat menuduh saya anti-Zionis, anti-Yahudi, penyokong kumpulan pejuang dan penghasut supaya menentang pendudukan (Amerika). Mereka berkata saya tahu di mana tempat persembunyian Osama bin Laden," katanya.

Apabila dia enggan bekerjasama, Ali dipindahkan ke bahagian lain penjara tersebut yang dikelilingi pagar berduri. Ketika di situ, katanya, tahanan hanya diberi makanan yang amat sikit. Hanya kemudahan asas sahaja yang disediakan untuk mereka.

Butiran mengenai kekejaman yang menimpua dirinya itu, diceritakannya dengan begitu jelas sekali sehingga dapat dilihat reaksi terperanjat dan ngeri terbayang di wajah mereka.

"Orang Israel ini yang berpakaian biasa mula menyeksa saya dengan memasukan kayu cerancang ke dalam dubur saya dan kemudiannya memasukkan pula laras rifel.

"Ia mengakibatkan bahagian dalam dubur saya luka dan berlumuran darah. Pada masa itu, setiap pengawal yang lalu di situ akan memukul saya. Saya tidak diberi makan selama 36 jam," katanya.

Ali berkata, dia cacat pendengarannya dan mengalami gangguan minda apabila lagu pop 'By the Rivers of Babylon' oleh Boney M dimainkan berterusan sambil tangannya diikat pada besi gril.

Gambar seksaan

Kemuncak kisahnya ialah apabila dia menceritakan kepada para hadirin apa yang berlaku apabila tersiar gambarnya memakai jubah dan bertutup kepala dalam keadaan dicangkuk pada wayar elektrik.

"Semasa arus elektrik masuk ke badan saya, saya rasa seperti mata saya dicungkil dan percikan api berterbangan.

"Gigi saya berkeletak dengan kuat, begitu juga dengan kaki saya. Keseluruhan badan saya menggigil dengan kuat," katanya.

Seorang rakyat Iraq yang kini menetapkan di Jordan, Ali berkata gambar-gambar itu dirakamkan sepanjang tempoh dia diseksa.

Ali dibebaskan awal Mac 2004 dan sejak itu dia menubuhkan sebuah pertubuhan untuk membantu mangsa kekejaman yang lain.

"Saya merasa amat sedih apabila terpaksa mengingati semula dan melalui sekali lagi pengalaman yang ngeri ini. Saya amat berharap rakyat Malaysia akan membantu kami.

Sewaktu sesi soaljawab, Ali ditanya bagaimana dia dapat bertahan sepanjang tempoh penyeksaan tersebut.

Jawapannya pendek tetapi amat berkesan: "Tuhan memberi manusia kekuatan yang amat besar. Saya bertahan dengan pertolongan Tuhan."

Di penghujung sesi tersebut yang dikendalikanoleh Tun Dr Siti Hasmah Ali, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, para hadirin tidak putus-putus memberi tepukan gemuruh kepada Ali.

Persidangan antarabangsa tersebut yang akan berakhir esok dianjurkanoleh Pertubuhan Keamanan Global Perdana yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir sendiri. Berita asal