Lantikan duta secara politik bukan perkara asing - Saifuddin
Pelantikan seseorang duta secara lantikan politik bukan perkara asing, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.
"Ia telah pun dilaksanakan sejak beberapa tahun dahulu melibatkan beberapa ahli parlimen, bekas menteri dan bekas pegawai kanan kerajaan.
“Pelantikan tersebut merupakan satu langkah strategik bagi mengetengahkan agenda dan kepentingan negara dalam keadaan tertentu.
"Perlu dijelaskan di sini bahawa pencalonan secara lantikan politik perlu mendapatkan persetujuan kolektif daripada jemaah menteri sebagai kriteria utama, sebelum proses pencalonan dilaksanakan," katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Khalid Samad (PH- Shah Alam) di Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu Khalid meminta menteri luar itu menyatakan apakah sifat-sifat yang memungkinkan seseorang terpilih menjadi duta besar Malaysia ke luar negara.
Kata Saifuddin, antara faktor yang diambil kira ialah kebolehan calon tersebut menjalinkan hubungan rapat dengan ahli badan legislatif serta memahami sistem politik di negara penerima.
Tambahnya, proses pelantikan duta juga adalah berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Lazimnya proses pemilihan calon ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar negara dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu pelantikan pegawai berkarier diplomatik atau secara lantikan politik dari kalangan individu yang bukan berkarier diplomatik termasuk ahli politik, bekas pegawai kanan kerajaan, atau mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dan kelayakan untuk dilantik sebagai ketua perwakilan.
"Calon-calon yang dikenal pasti tersebut hendaklah melepasi tapisan keutuhan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan mereka bebas daripada isu-isu integriti," jelasnya.
Sebelum ini cadangan agar ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dipertikaikan sesetengah pihak.

