Remaja pandu Vellfire bawa 25 Pati dari Rantau Panjang ke KL
Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang didapati mengambil upah membawa 25 pendatang tanpa izin (Pati) ke Kuala Lumpur selepas menahan Toyota Vellfire yang dinaiki mereka di Jalan Selinsing, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kenderaan yang dipandu remaja itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota keselamatan sekitar Jalan Manjoi 3, Taman Sri Kuching dekat Kuala Lumpur kira-kira jam 12.05 tengah hari.
Kata Beh remaja terbabit enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan bahkan bertindak melarikan diri sebelum terbabas akibat terlanggar sebuah motosikal ditunggang seorang anggota polis yang sedang bertugas, serta tiga kereta orang awam.
“Seramai 19 lelaki dan enam wanita warga asing berusia lingkungan 15 hingga 39 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan peribadi ditemukan berada di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beh berkata siasatan mendapati remaja dan seorang lagi rakannya yang melarikan diri membawa kesemua Pati terbabit dengan bayaran RM6,000 seorang.
Katanya mereka dibawa dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur pada jam 3 pagi semalam.
Menurut Beh lagi, semakan mendapati remaja terbabit tidak bersekolah, malah tidak memiliki lesen memandu. Pemeriksaan lanjut juta menunjukkan kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Katanya kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 168 Kanun Keseksaan," katanya.
- Bernama

